Projek empangan bawah tanah Kedah dalam proses perolehan tender

Akmal Nasrullah. Foto Bernama
Akmal Nasrullah. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek pembinaan empangan bawah tanah di Padang Matsirat, Langkawi, Kedah bertujuan meningkatkan kapasiti sumber bekalan air mentah, kini berada di peringkat perolehan tender.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tersebut dijangka dikeluarkan pada suku kedua tahun depan.

"Melalui peruntukan sebanyak RM412.8 juta, projek ini diluluskan untuk meningkatkan kapasiti sumber bekalan air mentah. Empangan bawah tanah dengan kapasiti takungan 42.8 juta meter padu ini dijangka dapat menambah bekalan air sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) sehingga tahun 2040," katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Muhammad Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai perkembangan terkini pelaksanaan projek pembinaan empangan bawah tanah di Kedah pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Akmal Nasrullah berkata, bagi penyelesaian jangka pendek isu bekalan air mentah di Langkawi, Projek Peningkatan Sistem Pengepaman di Padang Matsirat melalui pinjaman kepada kerajaan negeri Kedah telah siap pada 20 Mei 2024.

Beliau berkata, projek tersebut berjaya meningkatkan kadar pengepaman air mentah ke Loji Rawatan Air Padang Saga Fasa 3 melalui pemasangan paip khusus, membolehkan air mentah disalurkan terus ke Empangan Malut untuk menambah bekalan air sedia ada.

"Selain itu, kementerian juga sedang merancang pelaksanaan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Padang Saga, dan SST bagi projek ini dijangka dikeluarkan pada Mei 2025," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!