KKDW bersihkan tiga kampung, 9 premis terjejas banjir di Tumpat
TUMPAT - Kerja-kerja pembersihan di tiga kampung dan sembilan premis terjejas teruk akibat banjir gelombang pertama di daerah ini dilakukan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Rabu.
Pengarah KKDW Kelantan, Nasrul Haqiim Mohd Nasir berkata, kampung terlibat ialah Teluk Jering, Bendang Pok Yong dan Kubang Sawa manakala premis termasuk masjid, klinik, madrasah serta tadika.
Beliau berkata, misi dilaksanakan oleh 180 ahli Skuad Ihsan Madani KKDW terdiri kakitangan dari lapan agensi di bawah kementerian itu termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institusi Latihan dan Kemahiran (GiatMARA) selain pemimpin serta komuniti setempat.
“KKDW diberi tanggungjawab sebagai ‘bapa angkat’ kepada negeri Kelantan bagi tujuan kerja-kerja pembersihan dan bantuan-bantuan kepada mangsa banjir.
“Skop penugasan yang dilaksanakan kali ini adalah untuk memastikan setiap rumah atau premis yang terjejas dibersihkan sepenuhnya sehingga premis tersebut dapat beroperasi seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Ihsan Madani KKDW di Sekolah Kebangsaan Teluk Jering di sini pada Rabu.
Menurut beliau, selain Tumpat, misi pasca banjir terbabit juga akan dilaksanakan di Pasir Mas serta kemungkinan seterusnya di Gua Musang pada masa depan.
“Kerja-kerja pembersihan ini membabitkan banjir gelombang pertama dan kami mengambil kira gelombang seterusnya jika berlaku selepas ini.
“Operasi skuad akan berterusan bagi membantu mangsa banjir sehingga habis musim tengkujuh,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pada bah gelombang pertama bulan lalu, Nasrul Haqiim, berkata, seramai 946 ketua isi rumah (KIR) dari jabatan dan agensi di bawah KKDW Kelantan terjejas.
Mengikut pecahan, Felcra merekodkan 44 KIR terjejas, Jakoa (27) KEMAS (414), Pejabat KKDW negeri Kelantan (15), Pusat Komuniti Desa (7), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (64), MARA dan Giatmara (315) serta Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (53).
“Mereka KIR sejumlah 946 atau jika dikira bersama keluarga masing-masing mencapai sekitar 4,000 hingga 6,000.
“Sesetengahnya terpaksa berlindung di pusat pemindaham sementara manakala selebihnya rumah mereka terperangkap dengan banjir yang menyebabkan mereka tidak dapat keluar daripada kediaman masing-masing,” ujarnya.
Sementara itu, kata beliau, seramai 27 Orang Asli di Gua Musang terjejas pada banjir sama.
“Keadaan mereka terkawal dan menerima bantuan yang dihantar oleh Jakoa melalui pelbagai cara termasuk helikopter kerana kepayahan jaringan perhubungan ke penempatan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!