DAP Sabah diberi mandat kaji kedudukan dalam kerajaan negeri
KOTA KINABALU - Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP memberi mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan parti dalam pentadbiran kerajaan negeri itu dan mengambil tindakan selanjutnya susulan isu rasuah membabitkan pemimpin di Sabah.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ketetapan itu diambil pada mesyuarat di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur malam tadi, berikutan pendedahan beberapa video skandal tuduhan rasuah yang melibatkan beberapa pemimpin kanan kerajaan di negeri berkenaan.
Beliau berkata, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, telah memberikan penerangan secara terperinci berhubung isu tersebut dalam mesyuarat tersebut.
"CEC menegaskan pendirian DAP yang tidak berkompromi dengan segala amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan serta menyeru pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyiasat kes tersebut dengan tegas," katanya dalam kenyataan.
Jin Zhe yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Luyang adalah satu-satunya Menteri Kabinet Sabah daripada DAP, manakala ADUN DAP yang turut menganggotai pentadbiran kerajaan Sabah ketika ini adalah ADUN Likas, Tan Lee Fatt yang menjawat jawatan Pembantu Menteri Kewangan Sabah.
Selain Jin Zhe dan Lee Fatt, DAP mempunyai dua lagi ADUN di Sabah iaitu Datuk Frankie Poon (Tanjong Papat) yang juga Pengerusi Sabah Development Berhad, dan Jannie Lasimbang (Kepayan) merangkap Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa Sabah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!