Ayah tiada wang bayar bil hospital swasta, mayat bayi dibeku dua minggu - UKVJ

Jenazah bayi itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Klang.
Jenazah bayi itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Klang.
A
A
A

SHAH ALAM - Jenazah seorang bayi lelaki dibekukan dalam peti sejuk mayat selama kira-kira dua minggu di sebuah hospital swasta di Klang dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.

Kisah menyayat hati itu tular di media sosial sejak Selasa selepas Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official memuat naik hantaran di Facebook berkongsi mengenai perkara itu.

Wan Chai memaklumkan, pihaknya menghadapi masalah sewaktu menguruskan jenazah bayi berkenaan yang diberi nama Muhammad Adham Mikail yang dalam keadaan beku sepenuhnya.

Menurut Wan Cai, perkara itu berlaku berpunca apabila bapa kepada bayi itu tidak mampu membayar bil bagi caj kelahiran anaknya di sebuah hospital swasta.

"Muhammad Adham meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan kerana tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan saluran lubang najis.

"Kami terpaksa menggunakan air panas dicampur dengan air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi anak syurga tersebut," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Cai memberitahu, bapa kepada bayi itu memaklumkan, isterinya mengadu sakit sebelum dihantar jiran ke hospital swasta terbabit.

"Semasa kejadian, bapa bayi itu sedang bekerja dan bergegas ke hospital selepas dimaklumkan tentang keadaan isterinya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kejadian itu amat mendukacitakan kerana bukan sahaja jasad bayi dibekukan, tetapi ibunya juga ditahan dan tidak dibenarkan keluar dari wad sehingga bil dijelaskan sepenuhnya.

Difahamkan, bil yang sepatutnya dibayar kepada pihak hospital berjumlah kira-kira RM3,600.

Jenazah bayi berkenaan selamat dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Selangor pada Isnin.

Dalam pada itu, katanya, beliau turut kesal apabila terdapat pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai ibu kepada bayi terbabit dengan tujuan meraih simpati dan meminta sumbangan.

Ujarnya, bapa kepada Muhammad Adham memaklumkan tidak mempunyai akaun di media sosial.

"Buat masa ini, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh ibu bapa Adham.

"Sebarang kutipan awam juga tidak dibuat memandangkan bil hospital sudah dibayar dan jenazah adik Adham telah selamat diuruskan.

"Sekiranya ada kutipan dibuat menggunakan kisah kematian adik Adham, itu adalah scammer," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!