Dulu asnaf, kini pengasas produk minyak cili
MELAKA - Biarpun pernah bergelar asnaf namun ia tidak mematahkan semangat seorang wanita untuk mengubah nasib keluarga dengan menghasilkan produk minyak cili.
Pengasas jenama minyak cili 'Mummys' Kitchen's, Amira Nadia Naim, 37, berkata, dia dan suaminya, Doni Donalo, 45, nekad mengubah taraf hidup daripada terus menerima bantuan bulanan sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, dalam keadaan kos hidup semakin meningkat dia tidak boleh hanya mengharapkan pendapatan suami yang bekerja sebagai buruh selain mengambil upah memotong rumput untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga serta persekolahan anak.
Amira Nadi berkata, dia mencuba nasib dengan menghasilkan produk makanan itu demi membesarkan enam anak termasuk yang masih bersekolah.
"Sebenarnya kami pernah berniaga di tepi jalan tapi banyak kali dihalau dan dimarahi apabila berniaga berdekatan sekolah.
"Selepas tujuh kali mencuba dan membuat rujukan di internet kami akhirnya mencipta satu produk baharu supaya dapat dijalankan di rumah dan dipasarkan sekitar negeri ini," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Rabu.
Dia yang menetap di Bukit Beruang berkata, produk yang dihasilkan sejak hampir lapan bulan lalu telah mula mendapat sambutan permintaan pelanggan selepas berusaha berniaga menerusi dalam talian dan di pameran-pameran perniagaan.
Ujarnya, setakat ini telah menghasilkan empat perisa iaitu minyak cili, minyak cili extreme pedas, minyak cili udang geragau dan minyak bawang putih yang diolah melalui resipi sendiri.
Katanya, sambutan yang diterima sekali gus menjadi pembakar semangatnya untuk membesarkan perniagaan yang diusahakan.
"Selepas didedahkan menerusi pelbagai program keusahawanan di bawah MAIM (Majlis Agama Islam Melaka) , kami menerima sokongan daripada rakan-rakan usahawan asnaf yang lain dan terinspirasi dengan kejayaan dimiliki mereka yang mahukan satu impian tinggi untuk mengubah nasib keluarga," katanya lagi.
Amira Nadia berharap lebih banyak pihak yang datang untuk memberikan bimbingan kepada mereka termasuk dari sudut kewangan dan geran perniagaan untuk memperluaskan perniagaan.
"Setakat ini produk yang dihasilkan menggunakan peralatan kecil di dapur dan jika ia ingin diperluaskan memerlukan peralatan sokongan lain bagi memenuhi permintaan tinggi di pasaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!