Pejuang tolak sebarang usaha untuk ampunkan Najib

Mukhriz.
Mukhriz.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menolak sebarang usaha untuk mengampunkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pengurangan hukuman penjara dari 12 kepada enam tahun, denda hanya RM50 juta dan tahanan rumah.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia kerana tiada sekelumit kenyataan kesal dikeluarkan Najib di atas kesalahan jenayah dan penganiayaan terhadap rakyat yang dilakukannya sehingga ke hari ini.

Malah, menurut beliau, bekas ahli Parlimen Pekan itu sebaliknya masih mendakwa dirinya mangsa politik dan penipuan oleh pihak lain meskipun tiada bukti kukuh dikemukakan.

"Kami juga menolak apa-apa usaha untuk membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah. Ini tak boleh dianggap sebagai hukuman kerana tidak setimpal dengan kesalahan besar yang Najib lakukan.

"Pejuang sama sekali menolak usaha untuk mengampuni Najib setelah didapati bersalah melalui proses perbicaraan mahkamah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan anak sulung Najib iaitu Datuk Mohamad Nizar memfailkan afidavit pada 5 Disember lalu sebelum perbicaraan Mahkamah Rayuan.

Dalam afidavit tersebut, Mohamad Nizar mendakwa Sultan Pahang memaklumkan tentang titah tambahan yang mencadangkan supaya Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan di rumah.

Bagaimanapun, pada Selasa, Istana Pahang dikhabarkan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Artikel Berkaitan:

Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berkata, perkara itu juga sudah diperjelaskan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mukhriz berpandangan, isu pengkhianatan terhadap sebarang titah Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya timbul.

Jelas beliau, sebaliknya keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara iaitu 'The Rule of Law' yang patut dipertahankan dan tidak dikhianati.

"Mana mungkin usaha untuk memerangi gejala rasuah boleh berjaya jika pesalah maha kaya seperti Najib boleh diberi layanan istimewa, walhal rakyat marhaen diambil tindakan tegas," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!