Barangan berjenama tiruan bernilai RM1.41 juta dirampas

Premis yang menyimpan barangan berjenama tiruan.
Premis yang menyimpan barangan berjenama tiruan.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis Johor merampas pelbagai barangan berjenama tiruan bernilai RM1.41 juta dalam serbuan di sebuah premis di kompleks Austin Perdana, di sini pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, barangan berjenama tiruan tersebut melibatkan pakaian, beg, kasut, topi, tali pingang dan dompet yang disimpan di premis berkenaan dan dijual dalam talian.

Katanya, kesemua barangan tersebut yang dipercayai diimport dari luar negara dijual menerusi platform media sosial dengan harga antara RM350 hingga RM500 sejak empat tahun lalu.

“Modus operandi yang digunakan adalah menjalankan aktiviti jualan pada waktu tengah hari dan malam.

“Pemilik premis tersebut juga sentiasa berjaga-jaga dengan kehadiran pihak berkuasa selain sentiasa bersedia melarikan diri sekiranya terkesan pihak yang mencurigakan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (C) Akta Cap Dagangan 2019 kerana mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam masa sama, lima individu dipercayai penjaga dan pekerja premis yang berusia antara 20 hingga 47 tahun diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!