Polis didakwa bunuh pelajar: 'Saya hanya sempat siasat 23 jam sebelum ditukar'

Prosiding perbicaraan ke atas Mohd Nazri di Mahkamah Tinggi Ipoh disambung pada 6 Januari tahun depan.
Prosiding perbicaraan ke atas Mohd Nazri di Mahkamah Tinggi Ipoh disambung pada 6 Januari tahun depan.
A
A
A

IPOH - Seorang pegawai penyiasat trafik memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu bahawa beliau hanya sempat menjalankan siasatan selama 23 jam sebelum ditukar dalam kes perlanggaran melibatkan kematian pelajar Tingkatan 5, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, tahun lalu.

Inspektor Jong Pit Chao, 37, berkata, dalam tempoh itu, beliau tidak sempat menjalankan siasatan lanjut terhadap elemen memandu dengan melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan saya hanya 23 jam pada hari pertama.

"Pentingnya peranan saya apabila tiba di lokasi kejadian, saya perlu secure bukti fizikal yang ada selain pergi kepada keterangan lisan saksi awam yang ada di tempat kejadian.

"Belum sempat saya buat siasatan ke atas elemen melulu atau berbahaya tersebut, saya telah ditukarkan," katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dalam perbicaraan kes di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pit Chao yang merupakan pegawai penyiasat kes semasa pelanggaran berlaku berkata, meskipun peringkat awal kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tidak bermakna siasatan dijalankan menjurus kepada satu elemen sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Satu siasatan dimulakan berdasarkan laporan maklumat pertama (FIR) dan berdasarkan laporan itu, polis klasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) tersebut.

"Dalam siasatan, saya perlu ambil kira semua aspek bukan juga yang menjurus kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh) (semata-mata), siasatan dilakukan mengambil kira semua aspek," katanya.

Saksi pendakwaan ke-29 itu turut menjelaskan kepada mahkamah bahawa, tindakannya memadam dua video insiden pelanggaran tersebut sepertimana dimaklumkan pada Selasa, kerana tiada keperluan untuk disimpan oleh beliau.

Katanya, tindakannya itu mengambil kira kes siasatan yang telah diambil alih oleh pegawai penyiasat baharu iaitu Asisten Komisioner Chua Sze Chuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Afzainizam: Boleh kamu jelaskan mengapa kamu padamkan rakaman video tersebut?

Pit Chao: Saya telah menghubungi ASP Chua. Saya juga forwardkan (majukan) rakaman video itu kepada beliau. Setelah tindakan-tindakan itu saya lakukan, tiada keperluan saya menyimpan rakaman tersebut memandangkan yang dihantar kepada saya adalah melalui aplikasi WhatsApp.

Perbicaraan kes yang masuk hari ke-17 itu turut memanggil Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Hammirol Hazlan Hamzah sebagai saksi pendakwaan ke-30.

Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili Peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Turut hadir, peguam pemerhati daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), Syaheera Rosli.

Prosiding perbicaraan disambung pada 6 Januari tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!