Wanita PH lapor polis FB hina, fitnah MB Negeri Sembilan
SEREMBAN - Majlis Tertinggi Wanita Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan membuat tiga laporan polis hari ini terhadap empat pemilik akaun Facebook berhubung tuduhan fitnah dan kata-kata kesat terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Wanita PH Negeri Sembilan, Norwani Ahmat; Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Azlina Zamli dan Wanita DAP, Nicole Tan Lee Koon di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, pagi tadi terhadap pemilik akaun berkenaan iaitu Tentera Semut, Sayap Kanan, Saadon Abd Salam dan Norshafinaz Nor Azman.
Norwani berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun tersebut.
“Dalam kenyataan mereka bukan sahaja menghina Menteri Besar malah menghina institusi agama di negeri ini.
"Kenyataan tersebut juga berbaur perkauman dan berniat melaga-lagakan PH selain berunsur biadab dan melampau yang akan menyebabkan Menteri Besar terpalit dengan kata-kata penghinaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini hari ini.
Sementara itu, Nicole yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan turut mengecam tindakan pemilik akaun yang menyalahgunakan media sosial sebagai tempat untuk mengapi-apikan keadaan.
Sebelum ini, empat pemilik akaun Facebook itu telah membuat fitnah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Aminuddin mengenai isu solat Subuh jam 7.30 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!