Banjir di Gua Musang hampir pulih
KOTA BHARU - Banjir di Gua Musang hampir pulih dengan jumlah mangsa berkurangan secara drastik kepada 41 pada petang Rabu berbanding 307 pagi hari sama.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa daripada 10 keluarga itu berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1.
Ia termasuk tujuh warga emas dan dua orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang berada pada tahap waspada dengan aras air 56.43 meter (m).
Sungai Golok di Rantau Panjang masih melebihi tahap bahaya dengan paras air 9.09m manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai (24.21m) dan Sungai Lebir di Kampung Tualang (35.27m) melepasi paras amaran.
Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II, Nik Mohd Radzi Muhamad, berkata, keadaan paras air di Sungai Galas menunjukkan trend menurun berbanding malam Selasa.
“Kawasan di Limau Kasturi paling rendah dan semalam (Selasa) Sungai Galas di Limau Kasturi naik tetapi hari ini (Rabu) menurun dengan keadaan cuaca di daerah ini cerah.
“Bagaimanapun pihak kami meneruskan pemantauan secara berkala empat kali setiap hari di lokasi tumpuan iaitu Kampung Lembaga, Limau Kastam, Bertam dan Setelu,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Selasa, daerah Gua Musang dilanda banjir melibatkan penduduk terjejas di Limau Kasturi, Felda Chiku 7 dan Batu 6.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!