Proses pengukuran tanah hak adat bumiputera di Sarawak berbaki 13 peratus

Dr Zaliha pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
Dr Zaliha pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak kini hampir selesai, dengan hanya sekitar 13 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah yang dianggarkan masih belum disukat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pelaksanaan program pengukuran tanah NCR di Sarawak telah mendapat kelulusan peruntukan RM100 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan daripada jumlah itu, RM66.6 juta telah disalurkan kepada kerajaan negeri Sarawak manakala RM15 juta lagi pada tahun depan.

“Namun peruntukan RM15 juta yang disediakan untuk 2025 tertakluk kepada syiling sedia ada di bawah RMK12, prestasi semasa pelaksanaan program dan keupayaan agensi pelaksana dalam melaksanakan kerja-kerja pengukuran.

"Sekiranya kerajaan negeri Sarawak berpendapat terdapat asas dan keperluan mendesak untuk mempercepatkan proses pengukuran ini, permohonan rasmi dengan justifikasi yang kukuh boleh dipanjangkan kepada Kementerian Ekonomi bagi mempertimbangkan penambahan peruntukan," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Pele Peter Tinggom mengenai kemungkinan penambahan peruntukan bagi pengukuran tanah NCR pada tahun hadapan.

Dr Zaliha berkata, sejak 2010, sebanyak RM282 juta telah disalurkan kepada kerajaan Sarawak di bawah peruntukan pembangunan untuk pelaksanaan kerja-kerja pengukuran tanah NCR.

“Secara kumulatif, sehingga November 2024, pengukuran perimeter seluas 1,179,893 hektar dan pengukuran lot individu seluas 114,169 hektar telah berjaya diselesaikan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!