Deposit, jaminan bank atasi tunggakan RM40 juta bil hospital warga asing
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti semula prosedur penetapan kadar deposit, jaminan bank dan tatacara kutipan agar jumlahnya mencukupi bagi menangani isu tunggakan bil perubatan warganegara asing di hospital awam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini mengadakan perjanjian dengan syarikat swasta di bawah Prosedur Permohonan Mendapatkan Kemudahan Rawatan Pesakit Dalam di Hospital KKM, dengan Menggunakan Surat Jaminan Syarikat Melalui Penyediaan Jaminan Bank.
Menurutnya, melalui perjanjian tersebut, syarikat swasta perlu menyediakan jaminan bank mengikut bilangan pekerja kepada pihak KKM.
“Misalnya, sebuah syarikat swasta perlu menyediakan jaminan bank berjumlah RM2,500 jika bilangan pekerjanya adalah 200 orang atau kurang.
“Sekiranya bil perubatan tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, potongan jaminan bank akan dilaksanakan oleh KKM untuk menjelaskan bayaran bil tertunggak terlibat.
“Sehingga September 2024, sebanyak 823 syarikat telah menandatangani perjanjian jaminan bank dengan KKM untuk kemudahan perubatan bagi pekerja asing,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) mengenai kajian terperinci terhadap prosedur penyediaan deposit, jaminan bank, caj dan kaedah kutipan bagi warga asing yang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM mencecah RM40 juta.
Jelas Dr Dzulkefly, hasil daripada tindakan yang telah diambil oleh KKM berhubung tuntutan bayaran bil perubatan warganegara asing sepanjang Disember 2023 hingga September tahun ini, terdapat penurunan tunggakan sebanyak RM3.84 juta atau 9.58 peratus daripada RM40.08 juta kepada RM36.24 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!