Remaja maut, teman lelaki cedera motosikal terbabas rempuh kereta
KLUANG – Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh sebuah kereta di Kilometer (KM) 68.3 Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan kira-kira jam 10 malam itu berlaku semasa mangsa berusia 19 tahun bersama teman lelakinya yang membonceng motosikal jenis Nouvo LC dalam perjalanan dari Simpang Renggam menghala ke Layang-Layang.
Bagaimanapun menurutnya, ketika pasangan tersebut tiba ke lokasi, motosikal dinaiki mereka hilang kawalan hingga memasuki laluan bertentangan dan melanggar kereta jenis Proton Saga di laluan berkenaan.
“Akibatnya, wanita itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Teman lelakinya yang berusia 20 tahun mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan, kaki dan belakang badan sementara pemandu Proton Saga berusia 19 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom untuk mendapat rawatan lanjut sebagai pesakit luar," katanya.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 412(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!