Mangsa banjir bersih rumah ala kadar bimbang gelombang kedua
KAMPAR - Penduduk Kampung Tanjung Tin, Tanjung Tualang yang terjejas akibat banjir minggu lalu hanya membersihkan rumah secara ala kadar kerana bimbang kawasan mereka akan dinaiki air sepanjang tempoh luruan monsun.
Pesara, Meor Razak Alias, 67, berkata, keluarganya reda sekiranya rumah mereka sekali lagi dinaiki air berikutan keadaan monsun itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan.
"Apabila hujan berterusan sudah tentu akan berlakunya limpahan air sungai jadi, kawasan kami juga akan dinaiki air berikutan benteng sungai telah pecah.
"Minggu lepas, tiada barangan yang boleh diselamatkan lagi jadi kami bersihkan apa yang ada sahaja untuk digunakan semula seperti periuk dan pinggan mangkuk," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.
Meor Razak berkata, pihak berkaitan juga diminta untuk segera selenggara sungai dan meninggikan benteng agar kejadian banjir dapat diatasi.
Bagi Azwi Ahmad Alias, 38, berkata, keluarganya sedia berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) mengikut arahan pihak berkuasa.
"Setakat ini, saya bersama isteri memang tidak boleh fikir apa selepas baru sahaja kena banjir buat pertama kali.
"Apa yang boleh buat hanya memantau keadaan cuaca dan paras air di Sungai Kinta berhampiran.
"Hendak selamatkan barangan pun, semuanya telah musnah ditenggelami air," katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk mula menjemur karpet serta tilam berikutan keadaan cuaca panas selain membuat pengasingan barangan untuk dikitar semula.
Rashidah Ibrahim, 65, berkata, besi-besi perabot akan dijual semula sambil mencari kembali dompetnya yang telah ditenggelami banjir.
"Dompet itu mengandungi barangan penting dan wang tunai berjumlah RM1,000 mungkin dibuang semasa dibersihkan.
"Sambil bantu asing itu, saya cuba-cuba cari dompet itu sekiranya ada rezeki tetapi apa pun saya reda kalau tidak jumpa," katanya.
Sementara itu, jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan jumlah mangsa banjir setakat jam 4 petang kekal 34 mangsa daripada 11 keluarga di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang dekat Bota.
Jabatan Pengairan dan Saliran Perak turut memaklumkan paras Sungai Perak di Kuala Kenderong di daerah Hulu Perak berada pada paras bahaya setinggi 111.5 meter (m) berbanding paras normal 111m.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!