Ezam Nor dakwa terima dokumen berkaitan Lembaga Pengampunan
KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Dewan Negara, Mohamad Ezam Mohd Nor mendakwa telah menerima beberapa dokumen berkaitan Lembaga Pengampunan melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, 5 Disember lalu.
Mohamad Ezam berkata, dokumen itu diserahkan seseorang kepadanya ketika berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.
Menurut beliau, seluruh jemaah menteri dilihat secara sengaja mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan itu pada 29 Januari lalu sedangkan keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa baginda seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Dakwaan ini berasaskan beberapa dokumen berkaitan Lembaga Pengampunan yang saya terima beberapa hari lalu.
"Segala dokumen ini mengandungi perintah dan titah Yang di-Pertuan Agong bersama cap mohor kerajaan, telah saya serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata demikian sidang akhbar selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Rabu.
Katanya, seluruh Kabinet dilihat gagal melaksanakan titah diraja, sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan politik mereka.
"Penjelasan Perdana Menteri di Parlimen baru-baru ini dilihat sebagai usaha untuk menutup jenayah dan keingkaran terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
"Kerajaan juga dilihat mengambil masa hampir setahun untuk memberi penjelasan selepas sidang Lembaga Pengampunan dan ini pada saya ia merupakan bukti kelewatan yang disengajakan," katanya.
Menurutnya, Perdana Menteri terutamanya perlu melaksanakan tugas hakiki dengan mematuhi titah dan perintah Yang di-Pertuan Agong tanpa sebarang muslihat.
"Isu ini bukan sekadar soal ketaatan kepada Raja, tetapi juga melibatkan keadilan, hak asasi manusia, dan prinsip amanah yang diberikan kepada Perdana Menteri," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib yang juga bekas Perdana Menteri untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan Titah Adendum selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan itu termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Titah Adendum bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 8 Disember 2023.
Anwar menjelaskan, beliau sendiri terlibat pada mesyuarat itu dan isu berkenaan tidak dibincangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!