Negeri Sembilan umum bayaran tambahan insentif IPTA

Aminuddin (tengah) menyampaikan sumbangan bantuan pengurusan jenazah kepada waris anggota JPKK Negeri Sembilan yang telah meninggal dunia, turut hadir Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias (kiri).
Aminuddin (tengah) menyampaikan sumbangan bantuan pengurusan jenazah kepada waris anggota JPKK Negeri Sembilan yang telah meninggal dunia, turut hadir Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias (kiri).
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan sebanyak RM500 tambahan Bantuan Khas Kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) secara sekali beri bagi kategori Ijazah pengkhususan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bermula tahun hadapan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penambahan itu dilakukan selepas mengambil kira pelbagai faktor dan keperluan semasa selain ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

"Jumlah baharu bagi kategori tersebut adalah RM1,500 berbanding sebelum ini RM1,000. Pertambahan nilai ini juga bagi menggalakkan lebih ramai pelajar memilih bidang STEM di peringkat Ijazah.

"Insentif ini adalah di bawah Pejabat Menteri Besar dan permohonan boleh dibuat melalui aplikasi N9 DIGITAL mulai tahun 2025," katanya selepas selesai Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Aminuddin (empat kiri) ketika menerima cenderamata daripada Politeknik Port Dickson yang telah menyertai Grand Final All Japan Robot Sumo Tournament 2024 di Jepun.
Aminuddin (empat kiri) ketika menerima cenderamata daripada Politeknik Port Dickson yang telah menyertai Grand Final All Japan Robot Sumo Tournament 2024 di Jepun.

Beliau berkata, selain itu tambahan RM50 sebulan bagi Bantuan Sara Hidup untuk mahasiswa dari keluarga B40 dengan jumlah terbaru bagi insentif ini adalah RM200 sebulan iaitu RM2,400 setahun.

"Insentif ini dikendalikan di bawah Yayasan Negeri Sembilan dan akan bermula pada tahun 2025. Permohonan boleh dibuat di laman sesawang https://www.yns.gov.my," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, anak-anak Negeri Sembilan dengan pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah yang melanjutkan pengajian di peringkat sijil, diploma dan Ijazah boleh memohon Bantuan Khas Kemasukan ke IPTA dengan jumlah sijil (RM500), Diploma (RM750) dan Ijazah (RM1,000).

Artikel Berkaitan:

"Jumlah itu ditetapkan sejak insentif berkenaan diperkenalkan pada 2019 hingga 2024 yang mana berdasarkan rekod sehingga November 2024, seramai 2882 orang pelajar membabitkan sijil seramai 362 orang, diploma (1102) dan Ijazah (1,412) telah menerima insentif tersebut.

"Begitu juga Bantuan Sara Hidup bagi mahasiswa anak Negeri Sembilan dari keluarga berpendapatan Isi rumah bawah RM5,000 dengan jumlah RM150 sebulan dengan RM1800 setahun.

"Setakat Disember ini pula, seramai 2,537 penerima bantuan ini dalam kalangan pelajar diploma dan ijazah di IPTA," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!