Mayat dalam bagasi biru milik lelaki warga asing
KAJANG - Mayat lelaki yang ditemui dalam sebuah bagasi berhampiran kawasan perumahan di Cheras Perdana, Bandar Tun Hussien Onn pada Selasa disahkan merupakan warga asing.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, bedah siasat terhadap mangsa dijalankan kira-kira jam 11 pagi pada Rabu oleh Pakar Patologi Hospital Serdang.
"Hasil bedah siasat mendapati mayat ini merupakan lelaki berumur lingkungan 20- an dengan ketinggian 155 sentimeter.
"Mangsa turut didapati memakai baju dan berseluar pendek berwarna hijau serta cincin silver di jari kanan.
"Selain itu mangsa turut dipercayai warga asing berdasarkan tiada kesan suntikan BCG pada badan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, hasil bedah siasat turut mendapati tiada kecederaan lain pada mayat kecuali patah di bahagian hidung.
"Mayat juga dalam keadaan lengkap anggota badan serta lengkap berpakaian semasa ditemui.
"Setakat ini punca kematian tidak dapat dipastikan dan masih pending laboratory analisis," katanya.
Menurutnya, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis meminta mana-mana ahli masyarakat kehilangan ahli keluarga untuk tampil membuat pengecaman mayat di Hospital Serdang dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan R.Umesh di talian 012-6114900," katanya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan bau busuk dihidu orang awam terungkai dengan penemuan mayat lelaki di dalam sebuah bagasi berwarna biru di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan di Cheras Perdana, Bandar Tun Hussien Onn.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!