Kibar bendera China: Pesuruhjaya Pas Perak mohon maaf kepada Nga Kor Ming
IPOH - Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria memohon maaf kepada Nga Kor Ming berhubung kenyataannya yang berunsur provokasi dalam isu kibaran bendera China di Menara Condong Teluk Intan, Oktober lalu.
Razman berkata, kenyataan bertajuk 'Siasat Tindakan Provokasi' yang dikongsi di laman sosial Facebook kendalian Pas Perak pada 25 Oktober itu telah menggambarkan Pengerusi DAP negeri terbabit bersekongkol dengan peserta perhimpunan berkenaan.
Menurutnya, setelah penelitian daripada sumber maklumat yang betul, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sama sekali tidak terlibat atau menyokong dalam program perarakan yang mencetuskan kontroversi itu.
"Saya mengaku bahawa dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar dan langsung tidak berasas.
"Saya meminta maaf tanpa apa-apa rizab kepada Yang Berhormat Nga Kor Ming untuk segala penderitaan dan rasa malu yang diakibatkan kepadanya disebabkan dakwaan-dakwaan ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu menjelaskan, kenyataan media yang disiarkan tersebut difahami membawa maksud bahawa Kor Ming selaku Ahli Parlimen Teluk Intan memberi restu kepada penganjuran haram yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.
Selain itu katanya, kenyataan sama juga menggambarkan bahawa Kor Ming seorang yang tidak taat setia kepada negara dan telah gagaI untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan kedaulatan negara.
"Saya telah menurunkan kenyataan media tersebut dan memberi aku janji tidak akan membuat apa-apa dakwaan yang serupa atau yang bersifat sama terhadap beliau," katanya.
Sebelum ini, Kor Ming dilapor mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil terhadap Razman yang telah mengaitkannya dalam penganjur sambutan Guan Gong Sedunia yang melibatkan warga China mengibar bendera negara tersebut di Menara Condong di Teluk Intan.
Beliau menjelaskan, penganjuran sambutan keagamaan itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik.
Insiden kibaran bendera China di Menara Condong meraih perhatian umum selepas satu rakaman video berhubung kejadian itu tular di media sosial.
Kejadian pada 24 Oktober itu dilapor dilakukan tanpa dirancang oleh rombongan rakyat dari China sempena sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!