Pengalaman pisahkan hari pertama dua beregu lelaki negara di Hangzhou
DUA beregu lelaki negara mengharungi perjalanan berbeza apabila menyingkap tirai Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou, China pada Rabu.
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan cabaran masing-masing di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, China dengan semangat juang tinggi kemudian dilabuh dengan pengakhiran berbeza bagi perlawanan pertama.
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani memulakan kempen berdepan jagoan Denmark, Anders Skaarup Rasmussen-Kim Astrup dengan langkah kiri dalam perlawanan Kumpulan A yang turut diundi bersama dua beregu Taiwan, Lee Jhe-huei-Yang Po-hsuan dan Lee Yang- Wang Chi-lin.
Sze Fei-Nur Izzuddin tewas perlawanan pertama 18-21 kemudian bangkit untuk menang 21-16 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum pengalaman dan ketenangan menyaksikan Anders Skaarup Rasmussen-Kim Astrup keluar sebagai pemenang, 21-14 dalam masa 74 minit.
Sementara itu, Aaron -Wooi Yik mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit untuk menjinakkan pilihan kedua He Ji Ting-Ren Xiang Yu dalam aksi Kumpulan B.
Set pertama pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 bermula garang sebelum akur tewas 17-21 kepada wakil China itu.
Aaron-Wooi Yik kemudian kembali memperagakan persembahan yang lebih meyakinkan apabila untuk menang 21-18 pada set kedua.
Set penentuan, Aaron-Wooi Yik tidak memandang ke belakang lagi meneruskan momentum positif dengan kemenangan 21-15 dalam masa 63 minit.
Selepas Ji Ting-Xiang Yu, Aaron-Wooi Yik yang digandingkan bersama pada 2017 akan berdepan dua wakil Indonesia bermula dengan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada Khamis.
Kemudian pemenang pingat gangsa di Olimpik Tokyo 2020 dan juara Kejohanan Badminton Dunia itu akan berdepan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani pada Jumaat.
Sebagai rekod, kempen edisi 2024 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai AS$2.5 juta (RM11.17 juta).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!