Perluaskan bantuan banjir RM1,000 di Kuala Lumpur
BANJIR kilat adalah bencana alam yang memberi igauan ngeri buat warga Kuala Lumpur kerana kadangkala hujan lebat dalam tempoh tertentu sahaja sudah boleh menyebabkan paras air naik mendadak.
Pelbagai usaha dan langkah diambil bagi menanganinya termasuk pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir atau Terowong SMART sepanjang 9.7 kilometer bagi tujuan mengalihkan air dengan lebih pantas keluar dari ibu kota.
Terowong SMART itu bermula di tasik Kampung Berembang berdekatan Sungai Klang, Ampang dan berakhir di tasik Taman Desa berdekatan Sungai Kerayong di Salak Selatan.
Bagaimanapun, banjir kilat tetap berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan sudah pasti yang menjadi mangsa ialah pengguna terutama pemilik kenderaan.
Apa lagi pilihan yang ada buat mereka yang ‘cari makan’ di Kuala Lumpur, mungkinkah beralih kepada pengangkutan awam?
Benar, masalah banjir sukar hendak dikawal, bagaimanapun tanggungjawab pihak berwajib seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amatlah dihargai kerana melaksanakan tanggung jawab penuh dedikasi setiap kali bencana berlaku.
Melihat kepada kejadian banjir kilat di Putrajaya baru-baru ini, keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa turun padang melihat sendiri kawasan kejadian dan memberikan bantuan kepada mangsa amatlah dihargai.
Sebanyak 20 pemilik kenderaan yang ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di Presint 11 itu, masing-masing menerima bantuan sebanyak RM1,000.
Mungkin Zaliha boleh memperkenalkan kaedah yang sama kepada mangsa banjir di seluruh Kuala Lumpur pada masa depan. Malah, tak mustahil ia dapat dilaksanakan di seluruh negara.
Sekurang-kurangnya sumbangan yang diberikan oleh kerajaan itu dapat meringankan beban mangsa sementara kenderaan berada di bengkel untuk dibaik pulih.
Namun, pada masa sama pemilik kenderaan janganlah melepaskan masalah itu kepada kerajaan semata-mata.
Perlu ada kesedaran diri dengan mencarum premium insurans kenderaan yang mempunyai perlindungan tambahan untuk bencana alam. Rancang sebaik mungkin demi perlindungan pada masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!