Bank perlu bayar ganti rugi kepada mangsa scam jika cuai
DALAM era digital yang berkembang pesat, penipuan dalam talian telah menjadi isu yang semakin serius.
Mereka yang menggunakan perkhidmatan perbankan internet, e-dagang dan transaksi digital berisiko tinggi menjadi mangsa penipuan
Namun, perkara tersebut menimbulkan persoalan sama ada mereka layak menerima ganti rugi atau sebaliknya sekiranya menjadi mangsa penipuan.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan agar bank membayar ganti rugi dalam tempoh lima hari kepada mangsa jika kecuaian berpunca daripada mereka, tertakluk di bawah undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Rentetan itu, pelbagai maklum balas telah diterima daripada orang ramai berhubung isu tersebut.
Ada yang menyokong dan ada juga yang membantah namun ia bersandarkan pada hujah dan pandangan masing-masing mengenai perkara tersebut.
SOKONG
Lindungi keselamatan pengguna
Sistem ganti rugi itu membolehkan pemilik akaun mendapatkan ganti rugi apabila wujud unsur kecuaian bank sekali gus memberikan perlindungan sepenuhnya kepada pengguna.
Jika penipuan berlaku akibat pengabaian atau kecuaian oleh penyedia perkhidmatan seperti bank atau platform e-dagang, pengguna seharusnya tidak perlu menanggung kerugian sepenuhnya.
Ia memberi keadilan kepada pengguna yang mungkin tidak dapat mencegah penipuan tersebut.
Selain itu, apabila penyedia perkhidmatan tersebut mempunyai risiko untuk membayar ganti rugi mereka lebih cenderung untuk meningkatkan keselamatan akaun pengguna.
Ini termasuk mengemas kini sistem keselamatan, melaksanakan protokol pengesahan yang lebih ketat dan memastikan perkhidmatan mereka bebas daripada kebocoran data yang boleh dimanipulasi oleh penjenayah siber.
Memang berbaloi peraturan ini dilaksanakan kerana ia membolehkan mangsa menuntut ganti rugi akibat penipuan dalam talian.
- Guru taska, Suhainur Zalina Zainal, 35.
Kurangkan risiko penipuan dalam talian
Sekiranya pengguna layak mendapat ganti rugi apabila terlibat dalam penipuan, ia akan memberi keyakinan kepada mereka untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian tanpa rasa takut akan kehilangan wang atau data peribadi.
Dengan adanya mekanisme ganti rugi itu, pengguna akan lebih peka terhadap keselamatan akaun mereka.
Justeru, mereka akan lebih berhati-hati dalam memilih kata laluan yang kuat, tidak berkongsi maklumat peribadi secara sembarangan serta sentiasa memastikan peranti masing-masing dilindungi daripada perisian hasad atau serangan siber.
Bagaimanapun, ia juga membawa beberapa cabaran yang perlu ditangani dengan bijak.
Penyedia perkhidmatan dan pengguna perlu sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan akaun dan maklumat peribadi.
Langkah-langkah pencegahan yang lebih ketat, pendidikan mengenai keselamatan dalam talian serta sistem pengawasan yang lebih cekap boleh membantu mengurangkan risiko penipuan dan memperbaiki keberkesanan sistem ganti rugi itu.
- Juruteknik, Mohd Arafat Abdullah, 35.
BANGKANG
Kos meningkat, bebankan pengguna
Bank mungkin terpaksa menaikkan kos perkhidmatan bagi membayar ganti rugi kepada mangsa penipuan.
Susulan itu, bayaran bagi perkhidmatan seperti yuran pengurusan akaun, bayaran transaksi dan kos lain akan dikenakan bagi menampung kerugian yang ditanggung.
Bagi pelanggan yang bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam penipuan, mereka akan turut terbeban dengan kos tambahan itu.
Sebagai contoh, bank mungkin mengenakan bayaran yang lebih tinggi bagi perkhidmatan sedia ada seperti pengeluaran wang tunai atau transaksi dalam talian bagi mengimbangi kerugian ditanggung.
Hal ini boleh menjejaskan pelanggan yang mengamalkan disiplin kewangan dengan baik kerana mereka turut dipaksa membayar kos yang tidak wajar akibat tindakan orang lain yang tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun, adalah sukar untuk membuktikan sama ada terdapat unsur kecuaian dalam pengendalian akaun. ataupun tidak.
- Penyelia, Alia Syuhada Abdul Rahman, 26.
Tuntutan palsu, eksploitasi sistem
Sekiranya semua kerugian akibat penipuan ditanggung bank, ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam tanggungjawab antara pengguna dan penyedia perkhidmatan.
Pengguna seharusnya bertanggungjawab menjaga keselamatan akaun mereka tetapi dengan adanya ganti rugi yang berlebihan, mereka mungkin kurang berdisiplin dalam pengurusan keselamatan digital.
Walaupun niat utama sistem ganti rugi adalah untuk melindungi pengguna namun terdapat kemungkinan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab akan cuba mengeksploitasi mekanisme itu untuk keuntungan peribadi.
Contohnya, ada yang mungkin membuat tuntutan palsu sehingga menimbulkan kesulitan kepada penyedia perkhidmatan.
Walaupun sistem itu memberi perlindungan kepada pengguna, namun terdapat kemungkinan sesetengah individu akan menjadi kurang berhati-hati dengan keselamatan akaun mereka sekali gus beranggapan bahawa mereka boleh mendapat ganti rugi.
Sikap berkenaan boleh menyebabkan peningkatan risiko penipuan kerana pengguna mungkin tidak mengambil langkah berjaga-jaga.
- Pekerja swasta, Mohd Sharkawi Londing, 38.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!