Banjir: APM bantu hantar 10 pemeriksa amali SPM

APM Jerantut membantu menghantar 10 pemeriksa amali SPM 2024 pada Khamis selepas laluan terputus akibat dinaiki air di Jalan Paya Garuk.
APM Jerantut membantu menghantar 10 pemeriksa amali SPM 2024 pada Khamis selepas laluan terputus akibat dinaiki air di Jalan Paya Garuk.
A
A
A

JERANTUT- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jerantut membantu 10 pemeriksa amali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menyeberangi jalan pada Khamis selepas laluan terputus di Paya Garuk di sini akibat dinaiki air.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jerantut, Kapten (PA) Muszaidi Musa berkata, lima pemeriksa tersebut bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Piol dan selebihnya di SMK Sungai Retang.

Menurutnya, bantuan pada jam 6.50 pagi itu menggunakan sebuah bot fiber bersama seorang pegawai dan tiga anggota.

"Pada masa yang sama APM Jerantut juga telah membantu guru-guru, pelajar dan petugas kesihatan yang berkhidmat di sekitar Padang Piol, Sungai Retang dan Kuala Tahan menyeberangi laluan terbabit.

"Untuk makluman, jalan Paya Garuk ini telah ditutup kepada semua kenderaan kira-kira jam 6 pagi pada Rabu selepas dinaiki air sedalam 0.6 meter membabitkan jarak sepanjang 110 meter ekoran hujan berterusan selama tiga hari bermula Isnin," katanya.

Jelasnya, laluan itu boleh digunakan oleh kenderaan berat dan kenderaan pacuan empat roda ekoran penurunan paras air dengan bacaan 0.38 meter pada Khamis.

Sementara itu, berdasarkan portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 8 pagi pada Khamis, dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang dibuka iaitu di daerah Jerantut membabitkan 40 mangsa terdiri 9 keluarga iaitu 30 di Sekolah Kebangsaan (SK) Teh dan selebihnya di SK Tebing Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!