Amanah Johor cadang kerusi Parlimen Muar, DUN Puteri Wangsa ditandingi PH

Gambar kecil: DZULKEFLY
Gambar kecil: DZULKEFLY
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerusi Parlimen Muar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang dimenangi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu diserahkan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, pemberian kedua-dua kerusi terbabit dirasakan tepat kerana sebelum ini kerusi berkenaan dikosongkan untuk diberikan laluan kepada Muda.

Menurut beliau, ketika itu Muda merupakan rakan sekutu politik semasa pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung sebelum ini.

"Tuntutan ini berasas apabila pengundi di kedua kerusi berkenaan tidak mempunyai pilihan lain memandangkan PH tidak bertanding dan gelombang sokongan telah beralih kepada parti yang dikatakan mewakili PH iaitu Muda bertanding di kerusi berkenaan.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan tindakan dan keputusan terbaharu parti Muda yang mengambil langkah untuk tidak lagi bersama Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini dan kedua kerusi tersebut dianggap sebagai kerusi yang kosong untuk mana-mana parti boleh bertanding," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dzulkefly yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar berkata, demi menjaga keharmonian gabungan antara PH dan Barisan Nasional (BN) di Johor, kedua-dua kerusi diserahkan kepada PH.

"Kami mencadangkan agar kedua kerusi berkenaan sebaiknya diserahkan kepada gabungan PH dalam menentukan mana-mana parti dalam gabungan ini untuk bertanding di kerusi berkenaan.

"Amanah Johor sekali lagi memaklumkan bahawa perkara ini perlulah diselesaikan dalam keadaan yang baik supaya mengelakkan pertindihan kerusi boleh berlaku pada PRU atau PRN akan datang yang mana ia akan menguntungkan pihak lawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 10 September tahun lalu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dan memutuskan berada di blok ketiga dalam Dewan Rakyat.

Sehari selepas itu, wakil rakyat tunggal Muda dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Amira Aisya Abd Aziz (Puteri Wangsa) diumumkan bukan lagi duduk dalam blok PH di Dun Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!