WTF 2024: Aura positif dua beregu negara
[DIKEMAS KINI] BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berada di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di China selepas melakar kemenangan kedua sebentar tadi.
Kejayaan tersebut hadir selepas pasangan negara yang berstatus nombor lapan dunia menewaskan wakil Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja dalam saingan straight set Kumpulan B itu.
Dalam aksi di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou tersebut, Tang Jie-Ee Wei memulakan set pertama dengan langkah kanan menerusi kemenangan 21-17.
Momentum positif diteruskan dalam permainan kedua menerusi aksi lebih bertenaga sebelum mengesahkan kemenangan 21-18 dalam tempoh 50 minit permainan.
Tang Jie-Toh Ee Wei pada Rabu menumpaskan rakan senegara yang juga pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai 14-21, 21-10, 21-14.
Menerusi dua kemenangan itu, cukup untuk memastikan tempat Tang Jie-Ee Wei berada di dua tempat teratas kumpulan bagi meraih tiket ke separuh akhir.
Dalam pada itu, peluang Soon Huat-Shevon untuk berada dalam empat kelompok terbaik kembali terbuka selepas mengalahkan pasangan Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito juga dalam pertarungan straight set.
Dalam pada itu, Soon Huat-Shevon kembali 'bernyawa' selepas mengalahkan pasangan Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito juga dalam pertarungan straight set.
Pasangan yang menghuni ranking ke-10 dunia itu menang 21-14, 21-14 dalam masa 35 minit permainan, sekali gus merapat rekod kemenangan kepada dua berbanding empat yang dimenangi gandingan dari negara Matahari Terbit itu.
Dalam saingan terakhir kumpulan pada Jumaat, Tang Jie-Ee Wei akan berdepan Midorikawa-Saito, manakala Soon Huat-Shevon dijadual menentang Dejan-Gloria.
Sebagai rekod, dua beregu teratas kumpulan akan layak ke separuh akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!