Pemandu lori larikan diri selepas sebabkan kemalangan maut ditahan

Lokasi kemalangan. - Foto IPD Kulai
Lokasi kemalangan. - Foto IPD Kulai
A
A
A

KULAI - Polis menahan seorang pemandu lori yang dipercayai melarikan diri setelah terlibat dalam satu kemalangan maut di sini, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, pemandu lori berusia 44 tahun itu ditahan untuk siasatan kerana didakwa menjadi punca kepada kemalangan maut berkenaan.

"Hasil siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang lelaki berusia 21 tahun itu cuba mengelak lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 44 tahun yang sedang membelok ke kanan.

"Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal hilang kawalan lalu melanggar batu pembahagi jalan di kiri jalan.

“Akibatnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan seterusnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Motosikal yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. - Foto IPD Kulai
Motosikal yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. - Foto IPD Kulai

Mayat penunggang motosikal dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini bagi tujuan bedah siasat.

Pemandu lori yang bertindak melarikan diri dari lokasi kemalangan kemudiannya berjaya dikesan dan ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kulai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!