Siasatan babit SD sokong Muhyiddin jadi PM masih berjalan
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Siasatan membabitkan 115 akuan berkanun (SD) yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri masih berjalan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang kemudiannya dikembalikan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan sebagaimana laporan bersabit Setapak Repot: 13248/2024 di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sehubungan itu, kementerian ini tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berhubung kes ini bagi mengelakkan ia mengganggu siasatan,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) tentang perkembangan terkini siasatan kes 115 SD sokongan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Pada 21 Ogos lalu, Muhyiddin telah menyerahkan 115 SD yang menyokong dirinya sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November 2022 kepada polis.
SD itu merangkumi 51 daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (GPS - 22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS - 6), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM - 1), dan SD daripada 10 ahli Parlimen BN dan dua ahli Parlimen bebas.
Beliau juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan yang bertarikh 21 November 2022 daripada setiausaha sulit kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
SD dan surat-surat berkenaan adalah antara dokumen yang diberikan oleh Muhyiddin kepada polis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan bahawa beliau telah menghina baginda dengan mendakwa dirinya tidak dijemput untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 walaupun mendapat sokongan 115 ahli Parlimen, termasuk dirinya sendiri.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu juga dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 semasa ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!