Wan Azizah, Mat Sabu dan Anthony Loke nafi tuduhan Tun M
SHAH ALAM - Keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh dibuat pada 21 Mei 2018 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri secara bertulis kepada peguam cara negara tanpa merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan bersama mendakwa, perkara itu turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum Mesyuarat Kabinet pertama diadakan.
Menurut kenyataan tersebut, selang dua hari setelah keputusan dibuat, Dr Mahathir kemudiannya memaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet.
“Kami ingin merujuk kenyataan Dr Mahathir terkait syor laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Beliau menyatakan keputusan tidak meneruskan usaha semakan dipersetujui Jemaah Menteri pada 23 Mei 2018 yang turut dihadiri oleh kami selaku anggota Kabinet.
“Ingin kami tekankan di sini, ia hanyalah 'pemakluman' di bawah agenda 'hal-hal lain' dan bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan.
“Oleh itu, tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telah pun hilang apabila ia dibuat secara bertulis oleh Dr Mahathir,“ katanya pada Khamis.
Pada Selasa, Dr Mahathir ketika sidang media menyifatkan syor siasatan jenayah terhadapnya berhubung RCI Batu Puteh sebagai langkah bermotifkan politik untuk menjatuhkan reputasi beliau.
Tegasnya, keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh pada 23 Mei 2018 bukan dibuat oleh beliau secara bersendirian, tetapi diputuskan bersama dalam Mesyuarat Kabinet.
Mengulas lanjut, kenyataan bersama itu berpandangan, Dr Mahathir selaku negarawan sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh berhubung keputusan tersebut, bukannya memilih untuk meletakkan di atas bahu individu yang tidak terlibat.
“Kami yakin dan percaya anggota Jemaah Menteri yang hadir dalam Mesyuarat Kabinet pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara ini,“ ujar kenyataan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!