Guru didakwa amang seksual murid 12 tahun

Chau Teik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya berusia 12 tahun, September lalu.
Chau Teik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya berusia 12 tahun, September lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang guru penolong kanan kokurikulum mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid Tahun 6, September lalu.

Tertuduh, Teh Chau Teik, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut kedua-kedua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara bagi maksud seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai guru.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di dua kelas berasingan di sebuah sekolah Bandar Baru Sri Klebang, Chemor sekitar jam 6.40 pagi pada 11 September dan 26 September 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu turut dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukan hukuman tambahan penjara tidak lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah menawarkan wang jaminan sebanyak RM50,000 serta syarat tambahan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam, S Teeban Kummar kemudian memohon jaminan minimum diberikan dengan alasan anak guamnya mempunyai pendapatan RM7,000 perlu menanggung ibu dan tiga adiknya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan penyerahan dokumen pada 17 Januari 2025.

Sinar Harian pada 14 Oktober lalu melaporkan polis telah menahan seorang guru yang disyaki mencabul seorang murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah rendah di Ipoh, selepas menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 3 petang pada Jumaat.

Siasatan polis mendapati suspek yang masih bujang telah beberapa kali melakukan perbuatan itu melibatkan seorang mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!