KPM perluas pengambilan guru dalam kalangan graduan swasta, luar negara

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengambilan guru diperluas dalam kalangan graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan luar negara bagi mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah kerajaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara langkah jangka pendek dan sederhana yang sedang dilaksanakan KPM.

Menurutnya, pelantikan guru juga dibuat secara kontrak dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.

"Guru-guru lantikan Contract of Service (CoS) ini akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

"Selain itu, pelaksanaan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan sepenuh masa selama 1 tahun kepada graduan tanpa pendidikan bermula tahun 2024 juga dilaksanakan," katanya pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Chiew Choon Man (PH-Miri) berkenaan langkah diambil KPM untuk mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak yang berlarutan sejak sekian lama serta perkembangan terkini berhubung usaha sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan isu terbabit.

Bagi langkah jangka panjang, Fadhlina berkata, KPM melaksanakan pengambilan guru bagi program praperkhidmatan lepasan STPM, STAM dan program matrikulasi dalam beberapa bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah bermula tahun ini.

Jelas beliau, KPM juga menubuhkan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru yang berperanan mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar kokurikulum, program dan enrolmen.

Artikel Berkaitan:

"Langkah tersebut memberi implikasi kepada keperluan guru seterusnya memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penempatan guru sekolah KPM," katanya.

Tambah beliau sepanjang tahun 2024 sehingga November, KPM telah berjaya menempatkan seramai 13,749 orang guru baharu lantikan tetap dan lantikan CoS bagi sekolah rendah dan menengah ke seluruh negara.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 1,697 orang guru baharu telah ditempatkan ke Sarawak dan merupakan antara negeri tertinggi yang menerima guru baharu.

"Sehingga 30 November 2024, jumlah pengisian guru di Sarawak adalah seramai 41,125 orang guru dari 43,334 perjawatan dengan jumlah kekosongan guru adalah 2,209 orang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!