Kereta terbabas langgar tiang MRT, pemandu maut terbakar

Sebuah kereta jenis Honda Accord terbabas dan melanggar tiang MRT menyebabkan pemandu maut terbakar di lokasi kejadian di Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis. Foto: PDRM
Sebuah kereta jenis Honda Accord terbabas dan melanggar tiang MRT menyebabkan pemandu maut terbakar di lokasi kejadian di Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis. Foto: PDRM
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pemandu kereta maut terbakar di lokasi kejadian apabila kenderaan dipandu hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang Transit Aliran Massa (MRT), di sini pada pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, dalam kejadian 6.20 pagi di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta jenis Honda Accord.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut dipercayai hilang kawalan, seterusnya terbabas melanggar tiang MRT dan menyebabkan kenderaan itu terbakar.

"Mangsa yang merupakan pemandu kenderaan tersebut telah terbakar seluruh badan dan disahkan maut di lokasi kejadian.

"Mangsa dibawa ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan maklumat mangsa sehingga ini masih belum dapat dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai rakaman papan pemuka semasa kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!