Perspektif negara tua bukan satu beban
Malaysia kini sedang melangkah ke fasa baharu dalam landskap demografi apabila dijangka menjadi negara tua menjelang 2030. Transformasi ini berlaku apabila 15 peratus daripada populasi mencapai usia 60 tahun ke atas seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Walaupun data berkenaan menunjukkan peningkatan taraf hidup dan jangka hayat yang lebih baik, ia juga membawa cabaran besar yang memerlukan pendekatan strategik dan inklusif.
Sihat fizikal, sihat mental
Penuaan yang sihat bukan sekadar memastikan warga emas bebas daripada penyakit kronik, tetapi juga memastikan mereka kekal berfungsi secara aktif, efektif dan berdaya saing. Kajian WHO mendefinisikan penuaan yang sihat sebagai keupayaan untuk kekal berfungsi secara fizikal, mental dan sosial dalam persekitaran yang menyokong sepanjang hayat.
Namun, di Malaysia, cabaran utama adalah peningkatan prevalens penyakit kronik dan kesihatan mental. Menurut Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2019, 3 daripada 10 warga emas di Malaysia mengidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi, manakala kemurungan dan kesunyian juga semakin menjadi isu utama.
Statistik juga menunjukkan hanya 40 peratus rakyat Malaysia yang mempunyai simpanan mencukupi di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas bersara. Ketiadaan pendapatan tetap menyebabkan ramai warga emas bergantung sepenuhnya kepada anak-anak atau bantuan kerajaan. Kekangan kewangan ini menyebabkan mereka lebih untuk mengutamakan keperluan kehidupan seharian berbanding berbelanja untuk aspek penjagaan kesihatan.
Strategi ke arah penuaan yang sihat
Kerajaan telah, sedang dan bakal melaksanakan pelbagai strategi bagi memastikan penuaan yang sihat dalam kalangan rakyat, terutama dengan lonjakan populasi warga emas menjelang 2030.
Antara dasar Komprehensif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan adalah Dasar Warga Emas Negara dilancarkan sejak 1995 lagi. Ia untuk memastikan kesejahteraan warga emas dari aspek kesihatan, sosial dan ekonomi.
Selain itu, Inisiatif seperti perkhidmatan kesihatan warga emas di klinik kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan perkhidmatan termasuk pemeriksaan kesihatan berkala, pengurusan penyakit kronik, kaunseling pemakanan, dan promosi kesihatan mental.
Manakala di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan telah menekankan pembangunan komuniti inklusif, termasuk infrastruktur yang mesra warga emas seperti laluan khas dan taman rekreasi yang lebih selamat. Malaysia boleh belajar dari negara Jepun, di mana kajian menunjukkan bahawa infrastruktur mesra warga emas akan menggalakkan mereka untuk lebih aktif dan bersosial.
Selain itu, program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) yang diperkenalkan oleh KKM pada tahun 2013, merupakan inisiatif penting untuk mempromosikan perkhidmatan preventif di peringkat komuniti.
Program berkenaan memberi fokus kepada pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan penyakit jantung serta faktor risiko seperti obesiti melalui pendidikan dan promosi kesihatan, perubahan ke arah gaya hidup sihat, dan penglibatan komuniti secara aktif.
KOSPEN bukan sekadar kempen kesihatan biasa. Ia bertujuan untuk memperkasakan masyarakat supaya mengambil tanggungjawab terhadap kesihatan mereka sendiri dan komuniti sekeliling.
Pendidikan dan kesedaran awam ke arah penuaan yang sihat
Aspek promosi dan pendidikan kesihatan serta kesedaran adalah elemen penting dalam memastikan rakyat bersedia menghadapi proses penuaan dengan cara yang sihat.
Di Malaysia, usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai penuaan yang sihat adalah kritikal dan strategi bersepadu diperlukan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan persediaan fizikal, mental,dan sosial bagi memastikan warga emas menjalani kehidupan berkualiti.
Oleh itu, penuaan penduduk tidak seharusnya dilihat sebagai beban, tetapi peluang untuk membina masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin. Dengan langkah proaktif, Malaysia boleh menjadi model negara tua yang menyediakan kehidupan berkualiti tinggi untuk semua generasi.
Kita perlu bermula daripada sekarang. Warga emas yang sihat adalah aset kepada negara, bukan beban dan inilah masa untuk memastikan mereka menjalani kehidupan yang efektif dan bermakna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!