Taktik 'tak sorok dadah' tak menjadi
NILAI - Helah sindiket penyeludupan dadah membungkus barang terlarang itu di dalam kotak begitu saja tanpa disorokkan, kononnya bagi mengelak timbulnya keraguan pihak berkuasa tidak berhasil apabila tetap dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Cubaan menggunakan kaedah itu dikesan dalam tiga operasi berasingan di gudang syarikat logistik di Kompleks Kargo Udara KLIA Sepang, Selangor baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam(Penguatkuasaan), Raizam Setapa@Mustapa berkata, dalam ketiga-tiga kes tersebut, pihaknya berjaya mematahkan aktiviti pengedaran dadah berjumlah 233.144 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM546,708.
Menurutnya, sindiket dilihat 'selamba' meletakkan bungkusan dadah di dalam kotak begitu saja tanpa disorokkan.
"Kalau kita tengok dalam ketiga-tiga kes ini, sindiket secara selamba tanpa sorok-sorok meletakkan bungkusan dadah itu di dalam kotak begitu saja.
"Saya tak boleh cakap ia satu trend kerana masih ada yang guna 'secret compartment', tapi saya percaya taktik ini untuk elak keraguan pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kes pertama pada 25 November lalu apabila hasil pemeriksaan ke atas lapan kotak di gudang telah menjumpai sejumlah bungkusan berisi leraian tumbuhan berwarna hijau disyaki dadah berbahaya jenis daun khat yang mengandungi cathinone.
"Anggaran berat kasar iaitu 217.95 kilogram(kg) yang dianggarkan bernilai RM205,000.
"Kotak-kotak tersebut dibawa masuk dari negara Afrika dan modus operandi sindiket ialah mengisytiharkan barang dagangan sebagai rempah herba," katanya.
Raizam berkata, bagi kes kedua pada 27 November lalu, pihaknya telah menjumpai sejumlah bungkusan plastik lut sinar mengandungi leraian tumbuhan disyaki fadah jenis kanabis.
Ujarnya, ia dianggarkan bernilai RM15,500 dengan berat kasar lima kilogram dan telah dibawa masuk dari sebuah negara Eropah.
"Ia telah diikrar sebagai barang dagangan ditolak," katanya.
Selain itu bagi kes ketiga pada 2 Disember lalu, pihaknya telah menyita dadah jenis methamphetamine seberat 10.2kg.
Jelasnya, ia selepas pemeriksaan dilakukan ke atas beberapa kotak berisi tuala mandian yang berisi bungkusan teh hijau cina.
"Dalam helaian tuala itu dibungkus dengan 10 bungkusan teh hijau cina yang di dalamnya berisi serbuk kristal disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM326, 208.
"Kotak-kotak tersebut yang diikrarkan sebagai tuala mandi akan dihantar ke Australia menggunakan perkhidmatan kurier udara," katanya.
Bagaimanapun katanya, bagi kesemua kes, tiada tangkapan dilakukan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!