Penyertaan syarikat besar dalam NAIO cermin pendirian dagang negara - PM

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penyertaan syarikat besar dari Amerika Syarikat (AS), China dan Eropah dalam Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) mencerminkan pendirian dagang negara serta sikap Malaysia yang bersahabat dengan semua pihak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, AS masih menguasai dan menerajui bidang teknologi maklumat dan AI, bagaimanapun terdapat juga penyertaan dari syarikat Eropah serta China.

“Ini menunjukkan bahawa sikap kita sebagai negara yang bebas jaring hubungan dengan semua negara, (pada masa yang sama) menekankan keperluan meningkatkan hubungan dagang melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan beberapa hubungan perdagangan perjanjian peringkat antarabangsa,” kata Anwar menerusi ucap tama beliau semasa merasmikan NAIO, di sini, hari ini.

Pada majlis itu turut diumumkan enam kolaborasi strategik yang mewakili pencapaian penting dalam perjalanan AI negara yang bertujuan untuk mempercepatkan inovasi, memacu penggunaan industri, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan AI.

Enam rakan strategik tersebut adalah Toshiba, Global AI Village, YTL, Microsoft, Google dan Amazon Web Services (AWS).

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, acara hari ini menandakan ulang tahun pertama penubuhan kementerian itu.

"Sekarang kita menuju ke masa depan. Kita perlu mengambil langkah untuk mempersiapkan negara dan rakyat dalam menghadapi cabaran dunia digital yang akan datang.

"Apabila kami bercakap tentang pendigitalan, kami memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama: infrastruktur, keselamatan dan bakat," katanya menerusi ucap tama beliau.

Beliau berkata untuk memupuk inovasi, menarik pelabura dan membina keyakinan global terhadap keupayaan pemikiran ke hadapan Malaysia, negara mesti memastikan adanya kesalinghubungan yang teguh. - Bernama

Artikel Berkaitan:


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!