JDT kekal corak berintesiti tinggi berdepan KL City FC
JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras pada Jumaat.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio berkata, pasukan itu juga perlu tampil agresif dalam usaha membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Disember depan.
“Bagi saya, pemain tidak boleh bersikap sambil lewa pada aksi pertama nanti kerana aksi kali ini berbeza berbanding saingan liga (Liga Super) kerana Piala Malaysia merupakan trofi yang perlu dipertahankan.
“Pada masa sama, pemain juga perlu meningkatkan skil individu selain harus menjalani proses pemulihan bagi mengharungi jadual perlawanan yang padat dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan saingan liga.
“Oleh itu, kami tiada pilihan dan perlu memberi fokus terhadap diri sendiri selain terus mempertingkatkan lagi kualiti permainan sedia ada bagi menjamin kejayaan pada aksi suku akhir pertama ini,” katanya menjelang perlawanan.
Untuk rekod, ia merupakan kali ketiga kedua-dua pasukan bertemu di mana bagi dua aksi Liga Super sebelum ini dimenangi JDT dengan keputusan 5-1 pada aksi di Stadium KLFA Cheras, 25 Mei lalu dan JDT 3-0 pada 3 Disember di Stadium Sultan Ibrahim.
Mengulas mengenai ketiadaan pemain tengah, Shio Hong Wan yang agak lama tidak diturunkan diturunkan, Bidoglio mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan.
Malah katanya, pemain itu juga masih dalam proses pemulihan yang mengambil tempoh yang lama untuk pulih sepenuhnya.
“Hong Wan merupakan pemain yang penting buat kami, tapi dia mengalami kecederaan di kaki kanan.
“Oleh itu, saya berharap dia pulih sepenuhnya untuk kembali menyertai latihan bersama rakan sepasukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!