TomKraf terus komited bantu kucing jalanan
PRODUK makanan kucing buatan Malaysia, Tomkraf membuktikan komitmen terhadap kebajikan haiwan dengan meneruskan inisiatif membantu kucing jalanan.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Tomkraf, Nurul Husna Azmi berkata, usaha itu melibatkan pelbagai program seperti pemberian makanan dan barangan permainan percuma.
Menurutnya, program tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam menjaga kebajikan haiwan terbiar.
"Kami percaya setiap haiwan berhak mendapat peluang hidup yang lebih baik. Oleh itu, kami berusaha untuk menyediakan keperluan asas dan membantu mereka mendapatkan perlindungan sebaiknya.
"TomKraf bersama Pasaraya Kucing Malaysia hari ini memilih pusat perlindungan Little Paws Cat Shelter bagi menyerahkan sumbangan berbentuk makanan, pencakar dan barangan permainan yang diperlukan di pusat ini," katanya ketika majlis penyerahan sumbangan di sini pada Khamis.
Tambah Nurul Husna, pada tahun ini sebanyak lima buah pusat perlindungan kucing sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur terpilih untuk program berkenaan.
Ujarnya, TomKraf dan Pasaraya Kucing Malaysia memberikan bantuan mengikut kehendak sesebuah pusat perlindungan.
"Di sini, mereka lebih memerlukan barangan untuk hiburan kucing selain makanan dan kesihatan. Jadi itu yang kami berikan.
"Kami berharap akan dapat membantu lebih banyak pusat perlindungan pada masa akan datang. Kerjasama ini juga bagi mengajak ramai dalam bidang ini membuka mata untuk menghulurkan bantuan bagi menyelamatkan kucing jalanan ini," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pasaraya Kucing, Datin Felicia Cheng Yee Ling berkata, program tersebut akan lebih kerap dilakukan selepas ini dengan berkolaborasi bersama jenama terkemuka yang sudi membantu.
Felicia berkata, pihak syarikatnya akan mengambil inisiatif untuk menyediakan kotak bantuan bagi mengutip derma dalam membantu lebih banyak pusat-pusat perlindungan kucing di negara ini.
"Kami akan meletakkan kotak sumbangan di semua empat cawangan syarikat supaya orang ramai terutamanya pencinta kucing tampil membantu," katanya.
Menurutnya, orang ramai amat digalakkan untuk menyumbang sama ada berbentuk kewangan atau barangan dan berharap ia dapat mengurangkan populasi kucing jalanan sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga haiwan peliharaan dengan penuh tanggungjawab.
Sementara itu, pengusaha Little Paws Cat Shelter, Muhammad Aiman Misruddin berkata, pusat itu sentiasa terbuka untuk sebarang sumbangan daripada organisasi atau orang ramai.
Katanya, kini terdapat lebih 50 kucing jalanan di pusat tersebut berbanding sebelum ini seramai 90 ekor.
"Pada tahun ini kami berjaya menghantar pulang sebanyak 40 ekor. Matlamat kami selepas ini untuk menyelamatkan lebih ramai kucing jalanan dan lebih ramai juga dihantar pulang.
"Buat masa sekarang, misi pencarian untuk bantu kucing jalanan ini tertumpu sekitar Klang dan Shah Alam. Mungkin akan lebih meluas selepas ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!