'Sukar untuk pemain fokus apabila kelab panggil pulang' - Pau Marti

Pemain Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad diasak pemain Timor-Leste pada perlawanan kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi - Foto: Bernama
Pemain Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad diasak pemain Timor-Leste pada perlawanan kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi - Foto: Bernama
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui berdepan masalah ketika mengharungi Piala ASEAN kali ini terutama membabitkan pemain yang mengalami kecederaan selain dipanggil pulang kelab masing-masing.

Menurutnya, keadaan itu menyukarkan para pemain untuk fokus bagi tugasan antarabangsa bersama Harimau Malaya menjelang dua baki perlawanan menentang Thailand dan Singapura.

Ketika ini, skuad negara hampir pasti kehilangan Darren Lok, Syafiq Ahmad dan Fergus Tierney akibat kecederaan dan beberapa pemain lain yang dipanggil pulang ke kelab masing-masing.

"Kami mungkin kehilangan tiga pemain akibat kecederaan selepas perlawanan menentang Timor-Leste. Sukar untuk pemain hendak fokus kepada kejohanan bersama Harimau Malaya ketika kelab memanggil mereka pulang atau melaporkan diri lewat.

"Ia amat sukar untuk pemain, tetapi mereka tetap lakukan terbaik dalam keadaan sebegini. Kami perlu berdepan realiti dan masih berpeluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Bukanlah situasi yang bagus (masalah kecederaan pemain dan kelab panggil pemain pulang), namun siapa pun yang ke Thailand sudah tentu akan memberikan yang terbaik," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan menentang Timor-Leste itu, skuad negara terpaksa berhempas pulas untuk menang 3-2 sekali gus mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

Sebelum ini, dua pemain yang sedang bersama pasukan kebangsaan iaitu Mohamed Syamer Kutty Abba dan Muhammad Adib Abdul Ra'op telah dipanggil pulang oleh Penang FC untuk menghadapi Piala Cabaran sebelum dilepaskan kembali menyertai Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pau Marti menegaskan pasukan itu tidak akan tunduk mengalah di sebalik pelbagai cabaran dihadapi pasukan.

"Saya katakan kepada pemain, pasukan ada 26 pemain dalam skuad dan semua mereka penting. Sebagai pasukan, kami perlu terus berjuang," katanya.

Selepas ini, skuad negara akan berdepan Thailand di Bangkok pada Sabtu sebelum menutup aksi Kumpulan A menentang Singapura pada 20 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!