Kelantan alami kemusnahan harta benda, infrastruktur lebih RM30 juta
TUMPAT - Kelantan mengalami kerugian lebih RM30 juta melibatkan kemusnahan harta benda dan infrastruktur pada gelombang pertama banjir yang melanda negeri ini bulan lalu.
Exco Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat, berkata, jumlah awal kerugian itu yang direkodkan setakat ini, turut membabitkan tujuh sekolah dan kelengkapan sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Menurut beliau, pihaknya masih lagi dalam proses mengumpulkan maklumat keseluruhan kerugian dan kemusnahan di daerah terjejas termasuk Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok dan Kota Bharu terbabit.
“Tujuh sekolah YIK tenggelam banjir terutama di daerah terjejas paling teruk Rantau Panjang dan Tumpat, seperti di kawasan Kajang Sebidang, air setingkat bangunan atau kira-kira tiga meter.
“Keseluruhan kemusnahan akibat banjir di Kelantan dinilai setakat ini RM30 juta termasuk kelengkapan belajar seperti kerusi dan meja YIK yang rosak akibat bencana itu,” katanya selepas merasmikan Majlis Penerimaan dan Agihan Bantuan Banjir daripada FGV Holdings Berhad (FGV) membabitkan barangan makanan seperti beras, minyak masak dan tepung.
Turut hadir, Ketua Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kumpulan FGV, Shaharizan Yunus. Wan Roslan memberitahu, jumlah kerugian terbabit akan lebih tinggi selepas proses penilaian selesai dilakukan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Kata beliau, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan seramai 27, 003 termasuk di YIK 5,163.
“Di Kelantan, calon SPM terjejas banjir seramai 3,056 banjir dengan calon dari YIK sejumlah 207.
“Kesemua mereka ini dipindahkan dan menjalani peperiksaan di sekolah-sekolah yang ditentukan oleh YIK serta kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri,” ujarnya.
Beliau menambah Tumpat merekodkan mangsa banjr paling ramai sebanyak 12,000 mangsa selain turut melibatkan kemusnahan beberapa rumah penduduk dan runtuhan membabitkan 18 jalan Persekutuan serta 12 jalan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!