Mayat bayi beku: Mufti perlu segera keluar pandangan hukum
KUALA LUMPUR - Semua mufti di setiap negeri diminta mengeluarkan pandangan jika berlaku kes menimbulkan persoalan umat Islam tentang sesuatu hukum di negeri masing-masing termasuk kes tular menyimpan mayat bayi lelaki di dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Selangor pada Selasa lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, mufti mempunyai kuasa untuk mengeluarkan pendapat berkaitan hukum syarak.
"Pandangan mengenai perkara itu mesti dikeluarkan dengan segera bagi mengelakkan rakyat terpinga-pinga selain memberi kefahaman tentang isu terbabit.
"Misalnya, jika berlaku di Selangor, mufti di negeri terbabit perlu mengeluarkan pandangan hukum tentang isu terbabit," katanya ketika ditemui selepas sidang media Bajet Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2025 di Menara MAIWP di sini pada Khamis.
Mohd Na’im berkata, semua perlembagaan berkaitan hal ehwal agama Islam terletak di bawah tanggungjawab negeri masing-masing.
Beliau memberitahu, sebanyak 14 agensi di bawah kementeriannya juga misalnya akan mengeluarkan kenyataan segera terutama berkaitan dengan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
"Kita kena proaktif untuk membantu dan menyelesaikan apa sahaja perkara berbangkit dalam kalangan umat Islam terutama melibatkan persoalan hukum.
"Walaupun perkara itu (kejadian simpan mayat bayi lelaki) berlaku di Selangor, tetapi tidak salah juga jika Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk (Profesor Madya) Dr Luqman (Abdullah) untuk mengeluarkan pandangan umum," kata beliau.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, jenazah seorang bayi lelaki dibekukan dalam peti sejuk mayat selama kira-kira dua minggu di sebuah hospital swasta di Klang dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.
Kisah menyayat hati itu tular di media sosial sejak Selasa selepas Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official memuat naik hantaran di Facebook berkongsi mengenai perkara itu.
Wan Chai memaklumkan, pihaknya menghadapi masalah sewaktu menguruskan jenazah bayi berkenaan yang diberi nama Muhammad Adham Mikail yang dalam keadaan beku sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!