Dua penjenayah mati berbalas tembakan dengan polis

Dua penjenayah dikehendaki polis mati dalam kejadian berbalas tembakan di Tanjung Malim pada Khamis.
Dua penjenayah dikehendaki polis mati dalam kejadian berbalas tembakan di Tanjung Malim pada Khamis.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Dua penjenayah yang aktif melakukan samun bersenjata sekitar daerah Muallim mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di susur keluar Jalan Proton City-Tanjung Malim di sini pada Khamis.

Dalam kejadian sekitar jam 5.20 pagi itu, dua suspek yang menaiki kereta jenis Proton Persona dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika pasukan menjalankan rondaan cegah jenayah Op Casa Muallim.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu bertindak mengejar kereta suspek sejauh empat kilometer sebelum terbabas.

"Suspek pertama kemudian bertindak melepaskan dua das tembakan dan mengenai kenderaan polis di hadapan.

"Suspek kedua yang juga penumpang hadapan turut keluar dengan memegang sebilah parang panjang bertindak menyerang anggota polis menyebabkan pasukan melepaskan tiga das tembakan dalam usaha mempertahankan diri," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek berusia 29 dan 37 tahun masing-masing mempunyai 20 dan tiga rekod lampau dalam jenayah serta dadah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Zulkafli (dua dari kanan) menunjukkan pistol Sig Seuer yang berjaya dirampas daripada suspek.
Zulkafli (dua dari kanan) menunjukkan pistol Sig Seuer yang berjaya dirampas daripada suspek.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai sepucuk pistol Sig Seuer, dua butir peluru 9mm dalam kelopak dan chamber, dua parang, dua sarung muka dan sarung tangan, dua plat nombor pendaftaran kenderaan, enam kelongsong peluru serta pemotong besi.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran kereta yang digunakan suspek adalah palsu," katanya.

Tambah Zulkafli, kedua-dua suspek merupakan penjenayah paling dikehendaki apabila aktif melakukan 20 kes samun berkumpulan dan 10 kes pecah rumah di kawasan Tanjung Malim, Behrang dan Slim River sejak tahun 2023.

"Suspek sering menimbulkan ketakutan kepada mangsa dengan mengeluarkan dialog 'call (hubungi) polis, aku tak takut diorang bukan boleh tangkap aku' dan 'Jangan report (lapor) polis, kalau report kami akan datang cari di tempat kerja kamu'.

"Kami memandang berat ancaman ini dan orang ramai dinasihatkan supaya jangan takut, kami akan kejar serta mengambil tindakan sewajarnya termasuk tiga dalang masih bebas.

"Kepada penjenayah, jangan melawan atau mengancam keselamatan. Saya terpaksa beri kenyataan ini kerana kumpulan ini seolah-olah cuba cabar pihak polis dan menakutkan orang ramai," ujarnya.

Zulkafli berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!