Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal ketika sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.
Wan Ahmad Fayhsal ketika sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kepimpinan Pas diminta agar bersabar dan tidak membuat sebarang tindakan melulu susulan keputusan perletakkan jawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sukar untuk mengulas panjang berkenaan perkara itu kerana beliau percaya punca keputusan berkenaan dibuat hanya diketahui oleh Ahmad Samsuri dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Keputusan yang dibuat oleh Dr Samsuri bagi saya (kalau) saya ulas panjang pun susah sebab saya tak tahu punca. Kenapa beliau (Ahmad Samsuri) letak jawatan itu, hanya beliau dengan Pengerusi PN.

"Tapi, apa pun saya harap, doakan dan saya mungkin merayu kepada rakan-rakan dalam Pas supaya bersabar dan jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Itu saja pesanan saya buat rakan-rakan dalam Pas," katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.

Ahli Parlimen Machang itu berkata demikian mengulas mengenai perkembangan semasa PN yang menyaksikan Ahmad Samsuri berundur daripada jawatan penting gabungan itu.

Pada Rabu, Ahmad Samsuri dilapor mengumumkan melepaskan jawatan beliau sebagai Bendahari Agung PN menerusi satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan Pas Pusat.

Peletakan jawatan terbabit dibuat hanya dua hari selepas Majlis Tertinggi PN bermesyuarat untuk mengesahkan pelantikan enam jawatan penting yang kesemuanya kekal menjadi milik Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!