Hargailah ‘buku pink’ demi nyawa ibu, anak
SHAH ALAM - Buku rekod kesihatan ibu atau 'buku pink' amat penting bagi mengetahui penyakit dan risiko, sekali gus membantu petugas kesihatan merancang kaedah terbaik untuk menyelamatkan ibu dan anak.
Presiden yang juga Pengasas Bersama Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, walaupun kebanyakan ibu tahu tahap kesihatan sebagaimana yang dimaklumkan, namun maklumat itu berguna dan penting apabila mendapat rawatan susulan dengan doktor lain.
“Dalam tempoh sembilan bulan isteri mengandung, kita tak tahu apa akan jadi sehingga anak dilahirkan. Sudah simpan duit dan peruntukan belanja isteri bersalin di hospital swasta yang paling selesa.
“Tapi (mungkin) masa tu pula kita dekat kampung hanya ada klinik desa. Tengah kelam kabut nak bersalin, kadang-kadang ada maklumat penting yang lupa dimaklumkan.
“Kepada bakal bapa, bawalah isteri pergi buat buku rekod kesihatan ibu atau buku pink. Tak kisah kalau benci macam mana pun pada klinik kesihatan atau nak bersalin dekat hospital swasta,” katanya dalam perkongsian di Facebook pada Khamis.
Tambah Dr Ahmad Firdaus, dengan buku pink itu, ia akan memudahkan petugas kesihatan sama ada doktor atau jururawat masyarakat untuk menyemak keperluan ibu.
“Mereka akan lihat sama ada ibu ada penyakit yang perlu diberi perhatian seperti kencing manis, darah tinggi dan pre-eclampsia.
“Scan terakhir ada nampak apa apa 'abnormalities' dengan janin tak? Ada risiko tinggi untuk tumpah darah (postpartum hemmorrhage)? Semua maklumat ini akan membantu petugas kesihatan rancang kaedah terbaik untuk selamatkan ibu dan anak.
“Mudah untuk doktor tahu apa nak buat dan nak rujuk ke mana. Hargai buku pink ini. Jaga betul-betul, simpan dalam beg kecemasan bila pergi mana-mana dengan bakal ibu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!