Baiki telefon percuma buat mangsa banjir

Mohd Idris membaiki telefon yang dihantar mangsa banjir
Mohd Idris membaiki telefon yang dihantar mangsa banjir
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga percetakan pakaian di Kampung Kubang Bunut, Pasir Mas mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan membaiki telefon secara percuma bagi membantu mengurangkan beban mangsa banjir di daerah itu.

Mohd Idris Mazlan, 40, menggunakan kebolehannya sepanjang gelombang pertama banjir dan menerima ratusan mesej melalui aplikasi WhatsApp serta pertanyaan daripada mangsa banjir.

Bapa kepada empat anak berusia antara setahun setengah hingga tujuh tahun itu berkongsi usaha itu melalui 'live' di media sosial miliknya.

"Dalam tempoh dua hari banjir, saya menerima puluhan telefon pelbagai jenama untuk dibaiki dan kebanyakannya rosak akibat ditenggelami air atau ditimpa hujan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Idris memberitahu, kebanyakan mangsa datang dari Pasir Mas berikutan gelombang pertama banjir yang serius melanda daerah berkenaan minggu lalu.

Mohd Idris (tiga dari kiri) membantu menghantar makanan di sebuah pusat tahfiz ketika banjir minggu lalu
Mohd Idris (tiga dari kiri) membantu menghantar makanan di sebuah pusat tahfiz ketika banjir minggu lalu

Bagaimanapun Mohd Idris terkejut apabila ada mangsa banjir dari Kuala Krai yang sanggup menaiki kereta api hanya semata-mata memintanya membaiki telefon.

"Saya terharu kerana dia percaya dengan kebolehan saya dan Alhamdulillah dia pulang dengan telefon yang berjaya dibaiki," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, sepanjang membaiki telefon lebih tiga tahun lalu ada pelanggan yang hanya memberikan minyak angin sebagai tanda terima kasih kerana individu itu tidak mempunyai wang untuk membayar khidmatnya.

Berkongsi kebolehannya membaiki telefon, Mohd Idris berkata, segalanya bermula ketika telefon ibunya, Noraini Hamzah, 62, rosak dan dia mengambil keputusan untuk membaikinya selepas tiada yang dapat membantu.

Justeru, Mohd Idris membeli beberapa alat ganti yang keseluruhannya bernilai lebih RM345 dan mula membelek YouTube sebagai bantuan memulakan pembaikan telefon berkenaan.

"Akhirnya saya berjaya membaiki telefon ibu dan daripada situ saya mula mengambil keputusan belajar dengan beberapa individu termasuk menghadiri kelas," katanya.

Mohd Idris turut bersyukur kerana mendapat sokongan isterinya, Afira Salmiza Abd Malek, 37, untuk terus membantu orang ramai yang memerlukan.

"Saya juga bersedia mengajar individu yang berminat membaiki telefon dan mencetak pakaian secara percuma untuk memanjangkan ilmu yang diperoleh dalam bidang ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!