KDN manfaat kuarters kosong KPM tempatkan anggota PDRM
PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kuarters milik Kementerian Pendidikan (KPM) yang kosong di seluruh negara awal tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif berkenaan digerakkan memandangkan KPM mempunyai lebih 17,000 kuarters kosong dan ia mampu menampung keperluan kekurangan kuarters untuk anggota PDRM.
“Dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri, diberitahu bahawa KPM ada 17,000 kuarters guru yang kosong, tak didiami. Di pihak polis pula, ada lebih kurang 9,000 anggota masih tak cukup kuarters.
“Jadi apa tindakan yang betul sebenarnya? Tindakan yang betul ialah bincang dengan KPM, boleh atau tidak lebihan kuarters yang tak diduduki itu didiami anggota polis,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN bagi Disember di sini hari ini.
Pada 21 November lepas, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata KPM menawarkan kuarters guru yang tidak berpenghuni untuk diduduki agensi kerajaan lain bagi memanfaatkan semula kemudahan itu.
Saifuddin Nasution dalam pada itu berkata, KDN sedia mencari peruntukan bagi menampung kos membaik pulih kuarters terbabit supaya ia sesuai didiami oleh anggota polis serta keluarga mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!