MVM rai sukarelawan dan rakan NGO, umum Projek Bantuan Musim Sejuk

LEBIH 100 tetamu hadir dalam Majlis Hi-Tea Istimewa Projek Bantuan Musim Sejuk anjuran MVM di Shah Alam, baru-baru ini.
LEBIH 100 tetamu hadir dalam Majlis Hi-Tea Istimewa Projek Bantuan Musim Sejuk anjuran MVM di Shah Alam, baru-baru ini.
A
A
A

SEMPENA satu dekad berkecimpung dalam pelbagai misi sukarelawan, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) meneruskan kesinambungannya apabila mengumumkan Projek Bantuan Musim Sejuk 2024/2024.

Ketua Pegawai Operasi MVM, Muhammad Hasbullah Md Najib berkata, setiap tahun misi bantuan musim sejuk ini menjadi komitmen MVM dalam mengembangkan jangkauan dan impak di luar negara.

“Kami sedang meneroka pilihan sama ada di Lubnan, Syria atau Gaza, Palestin untuk bantuan yang amat diperlukan ini.

“Ini menunjukkan tradisi kerja kemanusiaan merentasi sempadan kami,” katanya dalam Majlis Hi-Tea Istimewa Projek Bantuan Musim Sejuk di Shah Alam, baru-baru ini.

MUHAMMAD HASBULLAH (kiri) bersama selebriti dan ikon MVM, Nana Mahazan (tengah) menjadi ahli panel pada forum yang diadakan.
MUHAMMAD HASBULLAH (kiri) bersama selebriti dan ikon MVM, Nana Mahazan (tengah) menjadi ahli panel pada forum yang diadakan.

Tambah Muhammad Hasbullah, sejak penubuhan MVM pada 2014, mereka telah berkembang daripada kumpulan kecil yang beroperasi di luar rumah kepada organisasi yang dikenali dalam kesukarelawanan yang berpusat di Bandar Puchong Jaya, Selangor.

“Sedikit kejayaan organisasi pada hari ini terhasil daripada gabungan kemahiran pelbagai individu yang menggerakkannya sewaktu susah dan senang.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan meneruskan visi MVM iaitu menjadi organisasi pilihan yang memperkasa dan menghubungkan sukarelawan di Malaysia untuk projek kemanusiaan global serta menyokong kerja-kerja kemanusiaan melalui generasi sukarelawan yang berkemahiran,” jelasnya.

Katanya, bagi memulakan dekad seterusnya, MVM kekal komited dengan misi terasnya untuk memberi inspirasi dan memperkasakan kesukarelawanan, salah satunya dengan misi musim sejuk yang akan datang sebagai kesinambungan kerja-kerja yang berkesan.

Dalam majlis yang dihadiri lebih 100 tetamu itu, MVM turut menghargai sukarelawan mereka selain dermawan dan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Rakan NGO seperti Global Peace Mission, Cinta Syria Malaysia, Cinta Gaza Malaysia, MyAqsa Defenders dan Muslim Care Malaysia banyak memberi tunjuk ajar serta kerjasama kepada MVM sejak organisasi ini ditubuhkan.

“Sokongan mereka menjadi asas kejayaan MVM dalam memperkasakan kesukarelawanan dan menyampaikan bantuan di tempat yang paling memerlukan,” katanya.

SELEBRITI dan Ikon MVM, Nana Mahazan (tiga dari kiri) bersama sebahagian tetamu pada majlis tersebut.
SELEBRITI dan Ikon MVM, Nana Mahazan (tiga dari kiri) bersama sebahagian tetamu pada majlis tersebut.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Penghargaan Sukarelawan kepada enam sukarelawan yang dijemput khas mewakili enam negeri masing-masing.

Sukarelawan dari Johor, Muhd Dzulhakiem Alias dipilih sebagai penerima Anugerah Sukarelawan 2024 atas usaha penganjuran program yang kreatif dan proaktif di negerinya.

Dalam majlis itu juga, Muhammad Hasbullah turut menjadi ahli panel kepada forum bertajuk Berjalan di antara pelarian: Bukan musim sejuk yang kita bayangkan bersama dengan selebriti dan ikon MVM, Nana Mahazan yang dihoskan Dahlia Shazwan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi Projek Bantuan Musim Sejuk 2024/2025 boleh layari www.mvm.org.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!