Rasa lega dapat hak jagaan sementara anak - Zahnita

Zahnita mengaku lega mendapat perintah sementara hak penjagaan empat anaknya daripada suaminya, Abd Zackery Ghouse.
Zahnita mengaku lega mendapat perintah sementara hak penjagaan empat anaknya daripada suaminya, Abd Zackery Ghouse.
A
A
A

BEKAS pelakon dan peragawati terkenal, Zahnita Wilson, meluahkan rasa lega selepas berjaya memperoleh perintah sementara hak penjagaan anak-anaknya daripada suaminya, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor.

Keputusan yang diumumkan mahkamah itu memberi seribu satu kegembiraan buat Zahnita, atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussien Wilson, apabila hampir dua minggu tidak tinggal sebumbung dengan tiga anaknya.

Menurutnya, tempoh dua minggu itu, adalah ujian berat buatnya, sebelum keputusan mahkamah dikeluarkan pada 6 Disember lalu.

Zahnita
Zahnita

"Dulu, saya berpisah dengan anak hampir empat bulan, kali ini dua minggu (tidak tinggal sebumbung) dengan tiga anak.

"Tempoh yang dilalui itu memang mencabar, terutama apabila perlu menyerahkan mereka kembali kepada ayahnya setiap kali selepas berjumpa," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Bandaraya Kuantan pada Khamis.

Zahnita menambah, perjalanan untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anaknya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana proses undang-undang memakan masa.

"Saya tahu, untuk dapat anak-anak saya kena sabar kerana keadaan tidak berlaku sekelip mata.

Artikel Berkaitan:

"Tapi, kini saya lega hak jagaan sementara mereka berpihak kepada saya," katanya.

Zahnita (tengah) bersama dua anaknya, Zasharayna (kanan) dan Zahlia.
Zahnita (tengah) bersama dua anaknya, Zasharayna (kanan) dan Zahlia.

Zahnita mendedahkan, perintah mahkamah itu diserahkan kepada suaminya pada petang Rabu, namun, proses mengambil tiga anaknya, Zahrafeena,17, Zasharayna,12, Zahlia, 7, menghadapi cabaran apabila suaminya enggan memberi kerjasama.

"Seorang lagi anak, Zayden, 4, memang sudah berada dengan saya sejak saya berpindah dari kelamin (suami) ke rumah baharu.

"Jadi, proses untuk mengambil lagi tiga anak dan alhamdulillah, semuanya dapat diselesaikan dengan bantuan pihak polis yang mengiringi saya kediaman suami," luahnya.

Menurut Zahnita, mahkamah turut memberikan hak kepada suaminya untuk bertemu anak-anak pada hujung minggu selama dua jam, dua kali sebulan dengan pengawasan.

Kes ini akan didengar semula di mahkamah pada 3 Januari tahun hadapan untuk proses tuntutan hak penjagaan selanjutnya.

Isu perkahwinan Zahnita mula mendapat perhatian ramai selepas dia memuat naik gambar matanya yang lebam di Instagram baru-baru ini.

Dalam hantaran itu, Zahnita menceritakan pengalamannya hidup seperti seorang hamba sepanjang bersama suami, yang menimbulkan spekulasi berlakunya keganasan rumah tangga.

Pada 5 Disember lalu, Abd Zackery Ghouse didakwa di mahkamah atas dua tuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan terhadap Zahnita dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuantan telah membenarkan permohonan Zahnita untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, yang bertujuan melindunginya daripada ancaman atau gangguan.

Pasangan ini yang berkahwin pada 2005 mempunyai empat anak iaitu Zahrafeena, Zasharayna, Zahlia, dan Zayden.

Zahnita pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 2013, namun menarik semula permohonan tersebut pada 2015.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!