Kuasa tular, lelaki dapat balik wang 'hilang'

Paparan Facebook Ishak mencuri perhatian netizen.
Paparan Facebook Ishak mencuri perhatian netizen.
A
A
A

SHAH ALAM - Alhamdulillah syukur. ALLAH sebaik-baik pengatur. Semua yang berlaku hari ini (semalam) merupakan satu pelajaran yang amat mahal, luah seorang lelaki yang nyaris kehilangan wang gara-gara terlupa mengambil wang dikeluarkannya dari mesin wang automatik (ATM).

Bagaimanapun Ishak Ibrahim bertuah kerana kuasa tular dan keprihatinan netizen terhadap nasibnya menyebabkan dia berjaya memperoleh wang itu semula.

"Terima kasih kepada semua netizen dan ramai lagi mengambil berat dan begitu prihatin.

"Lihatlah kuasa viral mampu memecahkan kekusutan. Kuasa viral juga amat ditakuti. Sama ada kita terima yang baik-baik atau sebaliknya nauzubillah," katanya di akaun Facebook miliknya.

Satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki mengeluarkan wang dari mesin wang automatik (ATM) bagaimanapun terlupa mengambil wang tersebut sebelum seorang lelaki lain datang lalu 'mengambil wang' tersebut menjadi tular dan bualan hangat di kalangan netizen.

Tindakan lelaki yang mengambil duit itu dikecam netizen malah memintanya memulangkan semula wang tersebut.

Gara-gara kuasa viral, wang tersebut berjaya dikembalikan semula kepada pemiliknya.

Menurut Ishak, insiden tersebut telah memberi satu pengajaran cukup bermakna buat dirinya.

Artikel Berkaitan:

"Tiga perkara utama saya peroleh dari kejadian ini, iaitu lebih fokus, berlapang dada memaafkan orang dan sentiasa sangka baik.

"Ketiga, ramai orang di luar sana bersama dengan kita bila kita mahukan baik-baik. Walaupun tak kenal ada yang nak bantu bagi duit, ada yang suruh buat laporan polis dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan selesai selepas wang itu telah dikembalikan kepadanya semalam.

"Apa pun terima kasih pada adik Danial (beliau mualaf dan memeluk Islam) kerana menyerahkan semula wang tersebut. Pihak majikan dia pun mohon maaf," katanya.

Perkongsian kisah itu membuatkan netizen berasa syukur dan menyifatkan lelaki mualaf itu adalah seorang yang jujur dan amanah.

Sham Love Tina berkata, "Alhamdulillah harap abang Ishak Ibrahim lepas ni lebih fokus dan peka, jangan cuai lagi. Terima kasih pada adik yang memulangkan duit tu hanya ALLAH sahaja yang dapat membalas budi baiknya, moga adik sentiasa diberkati ALLAH sekeluarga amin, Insya-ALLAH Alhamdulillah."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!