3 ladang sawit FGV terjejas banjir gelombang kedua
TUMPAT - Tiga ladang kelapa sawit yang diusahakan FGV Holdings Berhad (FGV) melibatkan Felda Aring 1 dan Chiku di Gua Musang, Kelantan serta Setiu 1 di Terengganu terjejas banjir gelombang kedua sejak tiga hari lalu.
Ketua Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kumpulan FGV, Shaharizan Yunus berkata, turut terjejas satu asrama yang menjadi penempatan pekerja di Felda Aring 1.
“Setakat ini ladang sawit FGV di Felda Aring 1 dan Chiku serta Setiu I ditenggelami banjir menyebabkan penuai tidak dapat pergi ke ladang untuk menuai.
“Pihak FGV juga tidak membenarkan kerja-kerja dijalankan atas faktor keselamatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penerimaan dan Agihan Bantuan Banjir daripada FGV di Pantai Sri Tujoh, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah kerugian belum dapat ditentukan dan ladang terlibat juga bukan ladang utama selain berimpak kecil berbanding tahun lepas.
“Kebiasaan di ladang ada istilah ‘hari terabai’ iaitu penuai tidak dapat menuai buah sawit seterusnya menjadi faktor kerugian kerana kami tetap kena bayar gaji pekerja.
“Setakat ini, hari terabai masuk hari ketiga khususnya di Aring 1 dan Chiku di Gua Musang,” katanya.
Tambah Shaharizan, ketika ini keadaan buah sawit masih baik tetapi tetap ada tempoh rentan banjir.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Tumpat paling besar menerima jumlah bantuan banjir daripada FGV iaitu sebanyak 24 tan metrik bernilai RM150,000 yang akan diagihkan melalui 120 sukarelawan.
“Barangan diberikan seperti minyak masak, beras, susu pekat manis, mi segera jenama Saji dan gula Prai diagihkan selain sumbangan RM10,000 masing-masing kepada dua masjid serta satu sekolah.
“Sebelum ini, sebanyak barangan makanan bernilai RM71,600 sudah disalurkan kepada 500 peneroka Felda yang terjejas termasuk juga di Johor,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!