Lelaki pecah kedai, curi motosikal dicekup

Motosikal dan perkakasan yang dirampas daripada suspek. Foto IPD Iskandar Puteri
Motosikal dan perkakasan yang dirampas daripada suspek. Foto IPD Iskandar Puteri
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian pecah kedai termasuk melarikan motosikal di sekitar kawasan Gelang Patah, Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, suspek berusia 30 tahun itu ditahan sekitar jam 6.30 petang di sekitar kawasan Gelang Patah.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod lampau jenayah dan empat rekod jenayah dadah dan hasil saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Polis turut merampas satu sepana saiz 13, saiz 8, sepana ratchet, pemutar skru, playar, pisau boleh laras, gunting, kunci motosikal Yamaha YZR-R25 warna hitam dan tiga Allen key yang ditajamkan hujungnya.

“Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tempoh tujuh hari mulai 11 Disember hingga 17 Disember 2024 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, pencerobohan dengan kesalahan mencuri dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sampai 14 tahun dan denda atau sebat.

Tambahnya, Kes juga disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

Jika disabitkan kesalahan, katanya, boleh dihukum penjara sehingga sampai tujuh tahun dan denda.

Artikel Berkaitan:

Kumarasan berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau ke pusat kawalan daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 @ hotline 07-5114486.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!