Peguam terkenal tawar khidmat guaman kepada bapa jenazah bayi dibeku

Ahmad Zaharil di siaran langsung aplikasi TikTok miliknya pada Rabu.
Ahmad Zaharil di siaran langsung aplikasi TikTok miliknya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar sedia menawarkan khidmat guaman kepada bapa Muhammad Adham Mikail, jenazah bayi yang dibeku 16 hari.

Menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok miliknya, Ahmad Zaharil mempersoalkan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh sebuah hospital swasta di Selangor yang terkait dengan isu berkenaan.

“Mari aku saman. Kenapa kau simpan anak guam aku? Apa hak kau terhadap anak guam aku? Undang-undang apa yang dipakai?

“Tak bayar nak simpan, anak tersebut sudah meninggal dan ditempatkan dalam peti ais. Kenapa kau tak lepaskan? Itu cagaran namanya.

“Panggil mak ayah jumpa, aku akan tolong. Ini bukan kisah 3R (kaum, agama, raja-raja), tetapi mengenai kemanusiaan,” katanya pada Rabu.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Mr Wan Cai Official memuat naik hantaran di Facebook berkongsi mengenai perkara terbabit sehingga mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Jenazah seorang bayi lelaki dibekukan dalam peti sejuk mayat selama kira-kira dua minggu di sebuah hospital swasta di Klang dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.
Jenazah seorang bayi lelaki dibekukan dalam peti sejuk mayat selama kira-kira dua minggu di sebuah hospital swasta di Klang dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.

Artikel Berkaitan:

Wan Cai memaklumkan, UKVJ menghadapi masalah sewaktu menguruskan jenazah bayi tersebut kerana jasad anak kecil itu beku sepenuhnya sehinggakan terpaksa menggunakan air panas untuk melembutkan semula tubuh dan sendi anak syurga terbabit.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharil turut berkongsi akan membuat siaran langsung di TikTok miliknya jam 9 malam pada Khamis bersama bapa jenazah bayi terbabit.

“Lepas Isyak kita akan buat sidang media. Wan Chai ada maklumkan bapanya sudah bersedia, jadi aku cakap datanglah, aku okay sahaja.

“Aku tak cari tanggungjawab tetapi tanggungjawab yang datang cari aku, jadi kena buat,” ujarnya.

Beliau juga akan berbincang dengan kumpulan peguam dan akan mempersiapkan segala dokumen berkenaan kes tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!