Pengasuh didakwa cuai sebabkan kecederaan bayi lelaki
KUALA LUMPUR - Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kecederaan terhadap bayi lelaki berumur setahun dua bulan, minggu lepas.
Jonita Mohd Joha, 49, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap bayi berkenaan di sebuah kediaman di Setapak Jaya, Wangsa Maju di sini pada 5 petang, 4 Disember lepas.
Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Adam Haikal yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Hakim Dr Azrol Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 4 Februari tahun depan untuk sebutan kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!